Skip to main content

Dunia

Ismail Sabri arah transformasi undang-undang seiring perubahan semasa

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob berkata transformasi undang-undang perlu dilakukan segera kerana keadaan berubah dan undang-undang juga perlu bergerak mengikut keadaan semasa.

Berucap pada perasmian Perayaan Jubli Emas 50 Tahun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya pada Jumaat(17 Jun), beliau berkata, penambahbaikan turut akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

PM Malaysia itu berkata kerajaan sudah melaksanakan transformasi undang-undang secara signifikan dan beliau turut mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri supaya mengkaji serta meneliti undang-undang sedia ada termasuk 147 undang-undang yang sudah lapuk.

“Akta sedia ada iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 misalnya hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara online,” kata beliau.

Tambahnya, kerajaan melaksanakan beberapa langkah proaktif dalam memperkasakan undang-undang di Malaysia, antaranya cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori.

“Ramai yang keliru tentang pemansuhan hukuman mati mandatori yang diumumkan baru-baru ini, seolah-olah hukuman mati sudah dihapuskan.

“Kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah tersebut dijatuhkan hukuman mati ataupun hukuman pilihan yang lain,” kata beliau.
Menurut beliau, objektif itu perlu menjadi asas dan dasar kepada kerajaan serta pembuat dasar dalam hal berkaitan penghukuman suatu jenayah untuk mencari hukuman yang terbaik, setimpal dan berkesan.

Encik Ismail Sabri berkata, tindakan melompat parti terutamanya pasca Pilihan Raya Umum ke-14 sudah merencatkan proses demokrasi berperlembagaan di Malaysia.

Justeru, penyediaan Rang Undang-Undang Antilompat Parti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas kini di peringkat akhir dan bakal dibentangkan di Parlimen Julai ini, kata beliau.
Selain itu, Rang Undang-Undang Dana Sumbangan Politik pula bagi meningkatkan ketelusan sumbangan politik dengan mengurangkan risiko rasuah serta apa-apa penyalahgunaan kuasa yang berkaitan dengannya.

Sementara itu, beliau berkata dalam sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, tiga institusi penting menjadi tiang seri iaitu badan legislatif, eksekutif dan kehakiman mempunyai peranan masing-masing.

Kata beliau, setiap dasar yang digubal kerajaan berpaksikan roh dan semangat kebersamaan dengan mengambil kira kepentingan setiap agama, kaum dan seluruh Keluarga Malaysia.

Encik Ismail Sabri berkata, undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dibahas dengan roh dan semangat yang sama oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat, justeru badan Kehakiman juga perlu mengambil roh dan semangat sama ketika membuat intepretasi kepada undang-undang.

“Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan undang-undang, saya sangat menghormati doktrin pengasingan kuasa dan kebebasan di setiap cabang.

“Saya memberi jaminan bahawa setiap badan terutamanya badan Kehakiman begitu juga legislatif, kebebasan mereka akan terus dipelihara oleh kerajaan,” kata beliau.

Dalam memastikan Parlimen berfungsi dengan sempurna, beliau berkata kerajaan akan membantu institusi berkenaan membuat transformasi termasuk memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada 1993.

Selain itu, Encik Ismail Sabri berkata, kerajaan juga sudah menubuhkan 16 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berbanding hanya lima sebelum ini.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita