Ismail Lasim angkat sumpah jawatan MB Negeri Sembilan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Ismail Lasim selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu pada 2 Ogos 2026. (Gambar: Bernama)
Encik Ismail, 67 tahun, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, pada pukul 11.40 pagi.
Turut menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan itu ialah Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-'Abidin Tuanku Muhriz.
Hadir sama, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan serta kepimpinan barisan daripada BN dan Perikatan Nasional (PN), lapor Astro AWANI.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung semalam (1 Ogos), Encik Ismail memenangi kerusi DUN Juasseh dengan majoriti 4,091 undi.
Beliau memperoleh 6,907 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Aidil Abdullah yang memperoleh 2,816 undi dan calon BERSATU, Mohd Zuhaimi Md Yusof dengan 506 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lewat malam semalam mengumumkan keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan, yang menyaksikan BN memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN, manakala PN memperoleh tujuh kerusi dan PH memenangi 11 kerusi.
Keputusan itu menyaksikan BN dan PN memperoleh 25 kerusi DUN, sekali gus majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Encik Ismail yang juga anak kelahiran Kampung Tebing Tinggi, Juasseh dilahirkan pada 15 April 1959 dan merupakan lulusan jurusan undang-undang dari Universiti Malaya pada 1985.
Pada 2018, Encik Ismail bertanding dan menang buat pertama kali di kerusi DUN Juasseh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan pernah menyandang jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Encik Ismail juga merupakan Ahli Majlis Tetinggi UMNO.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.