Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Islamofobia didorong politik, bukan pertembungan agama: Tinjauan

 Islamofobia di Amerika Syarikat bukan berakar umbi disebabkan pertembungan kepercayaan agama sebaliknya didorong oleh politik

Anggaran Waktu Membaca:
Islamofobia didorong politik, bukan pertembungan agama: Tinjauan

Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi

Diterbitkan : 04 May 2019 07:47AM Dikemas Kini : 04 May 2019 07:54AM

WASHINGTON: Islamofobia di Amerika Syarikat bukan berakar umbi disebabkan pertembungan kepercayaan agama sebaliknya didorong oleh politik, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu tinjauan yang memberi tumpuan kepada orang Islam Amerika.

Hasil tinjauan yang dikeluarkan Institut bagi Dasar Sosial dan Pemahaman (ISPU) pada Rabu (1 Mei) menunjukkan bahawa sentimen anti-Islam dipengaruhi beberapa faktor termasuk politik peribadi dan nasional serta sebanyak mana seseorang mengetahui tentang Islam. Ia bukan disebabkan agama yang mereka anuti.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa rakyat Amerika yang secara peribadi mengenali seorang penganut Islam adalah lebih dua kali ganda mungkin mempunyai pendapat positif tentang orang Islam berbanding mereka yang tidak mengenali orang Islam.

Bagaimanapun, Indeks Islamofobia ISPU meningkat dari 24 pada 2018 kepada 28 pada 2019, yang menunjukkan bahawa orang Islam kekal sebagai kumpulan yang mungkin berdepan diskriminasi disebabkan agama mereka.

Indeks itu adalah ukuran tahap sokongan orang ramai terhadap lima stereotaip negatif yang dikaitkan dengan orang Islam di Amerika – bahawa kebanyakan orang Islam yang tinggal di Amerika Syarikat adalah lebih cenderung terhadap keganasan berbanding penganut agama lain; bahawa mereka mengamalkan diskriminasi terhadap wanita; bahawa mereka mengamalkan sikap permusuhan dengan Amerika Syarikat; bahawa mereka kurang bertamadun berbanding penganut agama lain, dan bahawa mereka bertanggungjawab atas sebahagian tindakan ganas yang dilakukan oleh orang Islam lain.

Menurut data ISPU, masyarakat Yahudi memperoleh mata terendah iaitu 18 dalam indeks itu manakala penganut agama Kristian kulit putih meraih mata tertinggi 35.

Tinjauan itu turut mendapati rakyat Amerika yang menyukai golongan kulit hitam, Yahudi dan LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri) cenderung mencatat 10 mata lebih rendah dalam indeks tersebut.

Sebanyak 33 peratus orang Islam yang ditinjau lebih optimistik mengenai hala tuju negara meskipun tidak puas hati dengan prestasi Presiden Donald Trump.

Tinjauan melibatkan 2,376 rakyat Amerika termasuk 804 orang Islam dan 360 orang Yahudi itu dijalankan pada bulan Januari.

Sumber : Bernama/EM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan