Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ISIS mungkin pindah operasi ke Asia Tenggara, kata Muhyiddin Yassin

Malaysia tidak menolak kemungkinan kumpulan ISIS memindahkan operasinya ke rantau Asia Tenggara berikutan kematian pemimpin Abu Bakar al-Baghdadi dalam satu serangan di Syria pada Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
ISIS mungkin pindah operasi ke Asia Tenggara, kata Muhyiddin Yassin

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 27 Nov 2019 07:27PM Dikemas Kini : 27 Nov 2019 07:29PM

BANGKOK: Malaysia tidak menolak kemungkinan kumpulan ISIS memindahkan operasinya ke rantau Asia Tenggara berikutan kematian pemimpin Abu Bakar al-Baghdadi dalam satu serangan di Syria pada Oktober.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata pihak berkuasa Malaysia sentiasa berwaspada menyusuli kematian al-Baghdadi.

“Kami percaya kematian al-Baghdadi akan membuka satu lagi babak dalam operasi keganasan ISIS. Selepas kehilangan banyak daripada wilayahnya di Syria dan Iraq, ISIS kini mencari sebuah pangkalan baru.

“Terdapat juga ancaman yang semakin memuncak daripada kepulangan pejuang pengganas asing, radikalisasi dalam talian dan serangan pengganas yang bergerak secara sendiri,” katanya pada Sesi Pleno Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN berkaitan Jenayah Rentas Negara (AMMTC ke-13) ke-13 dan mesyuarat berkaitan di Bangkok hari ini (27 Nov).

AMMTC ke-13 adalah wadah untuk membincangkan perkara berkaitan jenayah rentas negara termasuk penyeludupan senjata api, keganasan, pengubahan wang haram, masalah lanun, penyeludupan manusia, pemerdagangan manusia, jenayah ekonomi antarabangsa, jenayah siber, pengedaran dadah dan penyeludupan hidupan liar serta kayu balak.

Sementara itu, Encik Muhyiddin berkata Malaysia mengambil langkah untuk memanfaatkan sepenuhnya pangkalan data INTERPOL berkaitan ‘Dokumen Perjalanan yang Hilang dan Dicuri’ untuk membuat saringan ke atas pengembara bagi menahan penjenayah atau pengganas daripada memasuki negara ini.

Beliau berkata Malaysia menerusi penubuhan ‘Counter Messaging Centre’ (CMC), memantau dan memintas radikalisasi dalam talian yang dijalankan dalam platform media sosial, membuat banyak tangkapan dan mengetahui terlebih dahulu potensi serangan.

“Sejak enam tahun lepas, Polis Diraja Malaysia menumpaskan 25 percubaan oleh ISIS untuk melakukan serangan di Malaysia dan menahan 512 suspek yang terbabit dalam aktiviti berkaitan ISIS,” katanya.

Encik Muhyiddin turut menyuarakan kebimbangan berhubung krisis Rohingya, dengan berkata keganasan di Negeri Rakhine mengakibatkan pelarian mencari perlindungan di negara berjiran.

“Kami menggesa supaya krisis di Negeri Rakhine diselesaikan. Berilah etnik Rohingya hak mereka, perbaiki keadaan bagi semua komuniti di Rakhine dan biarlah etnik Rohingya kembali ke kampung halaman mereka di Negeri Rakhine dengan aman,” katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan