Iraq, Syria, meterai MOU bina talian paip minyak ke Mediterranean
Projek talian paip eksport minyak mentah yang menghubungkan Iraq dengan pantai Mediterranean Syria dijangka dapat meningkatkan kerjasama ekonomi, membuka peluang pelaburan baharu serta mewujudkan koridor strategik bagi eksport minyak mentah Iraq. (Gambar: REUTERS)
- Iraq dan Syria menandatangani memorandum persefahaman untuk membina talian paip eksport minyak mentah ke pantai Mediterranean Syria.
- Projek ini melibatkan konsortium Chevron, Transocean dan Urbacon Trading and Contracting sebagai pelaksana utama.
- Langkah ini bertujuan mempelbagaikan laluan eksport minyak Iraq, memperkukuh infrastruktur tenaga dan meningkatkan keselamatan tenaga serantau.
- Perjanjian ini juga dijangka membuka peluang pelaburan baharu serta mengurangkan kesan gangguan eksport akibat konflik di Selat Hormuz.
Kementerian Minyak Iraq dalam satu kenyataan memaklumkan projek itu merupakan sebahagian daripada wawasan strategik negara itu untuk mempelbagaikan laluan eksport, memperkukuh infrastruktur tenaga dan mempertingkat keselamatan tenaga serantau.
Menurut kementerian itu, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh sebuah konsortium yang terdiri daripada syarikat minyak gergasi Chevron Amerika Syarikat; syarikat penggerudian berpangkalan di Switzerland, Transocean; serta syarikat perkhidmatan pembinaan antarabangsa berpangkalan di Qatar, Urbacon Trading and Contracting.
Kapasiti akhir talian paip itu akan ditentukan dalam fasa kajian teknikal dan kejuruteraan yang akan datang, menurut kenyataan itu.
Projek berkenaan dijangka dapat meningkatkan kerjasama ekonomi dua hala, membuka peluang pelaburan baharu serta mewujudkan koridor strategik bagi eksport minyak mentah Iraq ke pasaran global.
Perjanjian itu dimeterai ketika Iraq berusaha memperluas saluran eksport minyaknya susulan gangguan di Selat Hormuz akibat perang Amerika Syarikat terhadap Iran yang telah menjejaskan hasil minyak negara itu dengan ketara.
Ekonomi Iraq sangat bergantung kepada eksport minyak mentah, yang menyumbang kira-kira 90 peratus daripada hasil fiskal negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.