Skip to main content

Dunia

Iraq gesa Amerika jangan campur tangan dalam konflik Iran-Israel

Anggaran Waktu Membaca:
Iraq gesa Amerika jangan campur tangan dalam konflik Iran-Israel

Seorang penunjuk perasaan Iran julang papan tanda anti-Amerika Syarikat serta gambar mantan pengawal revolusi negara itu Jeneral Qassem Soleimani, yang dibunuh dalam serangan Amerika ke atas Iraq pada 2020, semasa perhimpunan anti-Israel di Tehran pada Jumaat, 13 Jun 2025. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 15 Jun 2025 07:17AM Dikemas Kini : 15 Jun 2025 07:19AM
BAGHDAD: Iraq telah menghubungi pemerintah Iran dan Amerika Syarikat dalam usaha mengelak daripada terjebak dalam pergolakan serantau, kata pihak berkuasa pada Sabtu (14 Jun), sedang negara-negara sekutu Washington iaitu Israel dan Iran saling berbalas serangan.

Pemerintah di Baghdad adalah sekutu rapat Tehran, tetapi ia juga adalah rakan kongsi strategi Amerika Syarikat, yang merupakan musuh ketat Iran.

Amerika menempatkan sekitar 2,500 askar di Iraq sebagai sebahagian daripada pakatan anti jihad.

Dalam satu kenyataan pada lewat Sabtu, pemerintah Iraq menyatakan ia "mengulangi penolakan tegas dan tidak berbelah bahagi terhadap sebarang pencerobohan ruang udara Iraq atau penggunaannya dalam serangan tentera yang dilaksanakan oleh entiti Zionis terhadap Republik Islam Iran".

Ia turut menyeru Amerika Syarikat supaya "melaksanakan tanggungjawabnya ... untuk menghalang pesawat milik entiti Zionis daripada sekali lagi menceroboh masuk ke dalam ruang udara Iraq untuk menjalankan serangan sedemikian".

Seorang pegawai keselamatan kanan Iraq memberitahu AFP bahawa Baghdad juga meminta Tehran supaya tidak menyerang sasaran Amerika di dalam wilayahnya.

"Permohonan telah dibuat. Mereka menjanjikan kita perkara-perkara positif," kata pegawai itu, sambil memohon tidak didedahkan identitnya untuk membincangkan perkara-perkara sulit.

Seorang pegawai pemerintah Iraq, yang juga memohon supaya tidak didedahkan identitinya, berkata Baghdad telah membuat permohonan rasmi kepada Washington untuk membantu memelihara integriti ruang udaranya, sambil menukil peranan Amerika sebagai ketua pakatan antarabangsa menentang kumpulan ISIS.

Baghdad pada Jumaat juga mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas tindakan Israel menggunakan ruang udaranya untuk menyerang Iran.

Sebelum pergolakan ini berlaku, yang bermula pada awal Jumaat selepas Israel melancarkan siri serangan terhadap tapak-tapak nuklear dan tentera di Iran, Tehran mengancam untuk menyerang pangkalan tentera yang menempatkan tentera Ameriak di rantau itu jika berlaku sebarang konflik sekiranya rundingan nuklear dengan Washington gagal.
Sumber : AP/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita