Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Iraq dilanda gelombang panas, bekalan elektrik terputus

Suhu melampau 52 darjah Selsius minggu ini di Iraq, diburukkan lagi dengan bekalan elektrik terputus sejak Khamis.

Anggaran Waktu Membaca:
Iraq dilanda gelombang panas, bekalan elektrik terputus

Belia di Iraq membeli bongkah air batu di Baghdad untuk cuba sejukkan diri di tengah-tengah gelombang cuaca panas (Gambar: AFP/Ahmad Al-Rubaye)

Diterbitkan : 03 Jul 2021 05:11PM Dikemas Kini : 03 Jul 2021 05:20PM

BAGHDAD: Ketika suhu mencecah 52 darjah Selsius minggu ini di Iraq, Ali Karrar nekad meletakkan bayinya di dalam peti sejuk selama dua minit kerana bahang cuaca panas.

Namun, apabila bekalan elektrik terputus pada Khamis, penduduk di merata negara yang kaya dengan minyak mentah ini, 'kepanasan' mencari jalan keluar untuk mengelak strok haba.

Bagi golongan berkemampuan, mereka dapat menghidupkan semula peti sejuk, alat hawa dingin dan kipas menggunakan mesin generator persendirian.

Namun, keadaannya berbeza bagi penduduk miskin yang kebanyakannya tinggal di bandar Al-Hillah di bahagian selatan Iraq.

Empat wilayah di selatan negara itu terputus bekalan elektrik sejak Selasa lalu termasuk Basra iaitu pusat pelabuhan utama Iraq.

"Anak-anak terpaksa tidur atas lantai untuk menyejukkan badan tetapi kami sebagai orang dewasa tidak dapat tidur sejak beberapa malam," kata pekerja pelabuhan, Meshaal Hashem yang juga bapa kepada tiga orang anak kepada AFP.

Penduduk di bandar Diwaniyah, Rahi Abdelhussein pula terpaksa membeli beberapa beg ais untuk menyejukkan anak-anaknya.

Kedai-kedai perniagaan juga terkesan dan mereka terpaksa meletakkan hos dan memasang pancuran air di luar kedai untuk menarik pelanggan.

Bekalan elektrik yang terputus itu mengundang kemarahan kepada 40 juta penduduk Iraq diburukkan lagi dengan ahli politik yang tidak amanah mengambil kesempatan untuk saling menuding jari terhadap perkhidmatan teruk dan prasarana yang usang.

"Kementerian elektrik menyalahkan kementerian minyak yang menuding jari kepada kementerian kewangan. Kementerian kewangan pula menuduh yang salah adalah Iran. Iran pula dakwa salah pemerintah Iraq.

"Pemerintah pula salahkan rakyat yang bertindak menuduh kelemahan ahli politik," kata penganalisis politik, Sajad Jiyad menerusi Twitter.

Iraq, negara pengeluar minyak kedua dalam Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) membeli gas dan bekalan elektrik dari Iran yang membekalkan satu pertiga sektor kuasanya. Kemudahan perbekalan itu dalam keadaan usang kerana konflik selama berdekad-dekad lamanya selain khidmat penyenggaraan yang lemah.

Iran memutuskan untuk memotong bekalan ke negara jirannya pada Selasa dengan menyatakan bahawa kementerian elektrik Iraq berhutang lebih AS$6 bilion (S$8.08 bilion)

Iraq menyatakan ia tidak dapat membayar hutangnya itu kerana sekatan Amerika Syarikat terhadap pemindahan wang ke Iran, krisis kewangan yang mendalam disebabkan harga minyak yang merosot serta pandemik COVID-19. 

Sumber : AFP/SU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan