Iran tidak tergesa-gesa ingin lihat AS sertai semula perjanjian nuklear 2015
Iran tidak tergesa-gesa untuk melihat Amerika Syarikat menyertai semula perjanjian nuklear 2015 dengan kuasa-kuasa besar setelah Joe Biden mengambil alih jawatan Presiden bulan ini, kata pemimpin tertingginya pada Jumaat (8 Jan).
Pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei di Tehran pada 16 Dis 2020 (Gambar: Laman Rasmi Khamenei/menerusi REUTERS)
TEHRAN: Iran tidak tergesa-gesa untuk melihat Amerika Syarikat menyertai semula perjanjian nuklear 2015 dengan kuasa-kuasa besar setelah Joe Biden mengambil alih jawatan Presiden bulan ini, kata pemimpin tertingginya pada Jumaat (8 Jan).
Ayatollah Ali Khamenei berkata bahawa ia bukan persoalan "sama ada Amerika Syarikat kembali atau tidak", tetapi masalahnya adalah menarik balik sekatan sepihaknya.
"Kami tidak tergesa-gesa dan kami tidak berkeras untuk mereka kembali. Permintaan kami, yang logik dan rasional, adalah penghapusan sekatan" yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump setelah menarik diri dari perjanjian itu pada 2018.
"Kami sedang bercakap tentang hak yang dicuri dari negara Iran," kata Encik Khamenei dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.
"Sekiranya sekatan itu ditarik balik, kembalinya Amerika (ke perjanjian) masuk akal."
Sejak 2019, Iran secara beransur-ansur menggantung pelaksanaan sebahagian besar kewajiban utamanya berdasarkan perjanjian nuklear, yang menetapkan batasan ketat terhadap kegiatannya sebagai imbalan bagi pemansuhan sekatan.
Negara-negara lain dalam perjanjian tersebut, terutama Britain, Perancis dan Jerman, sebelum ini menggesa Iran untuk kembali pada komitmennya dalam usaha menyelamatkan perjanjian itu, namun Iran berulang kali menuntut agar Amerika Syarikat terlebih dahulu menarik balik sekatannya yang melumpuhkan.
"Apabila pihak lain tidak memenuhi langsung kewajibannya, tidak logik bagi republik Islam untuk menghormati semua komitmennya," tegas Ayatollah Khamenei.
"Jika mereka kembali kepada komitmen mereka, kami akan kembali pada komitmen kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.