Iran tidak boleh jamin keselamatan merinyu nuklear PBB, gantung kerjasama dengan IAEA
Iran tidak boleh dijangka untuk menjamin keselamatan merinyu daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) beberapa hari selepas tapak nuklearnya diserang Israel dan Amerika Syarikat, kata jurucakap kementerian luar negerinya Esmaeil Baghaei pada Isnin (30 Jun).
Jurucakap Kementerian Luar Negeri Iran Esmaeil Baghaei mengadakan sidang media mingguan di Tehran, pada 28 Oktober 2024. (Gambar: AFP)
Ia juga tidak dapat memastikan kerjasama seperti biasa dengan agensi itu, tambah beliau.
Iran percaya ketetapan IAEA pada 12 Jun yang menuduh negara tersebut mengabaikan kewajiban nuklearnya digunakan sebagai "alasan" untuk perang yang dilancarkan Israel pada 13 Jun, yang berakhir dengan gencatan senjata rapuh minggu lalu.
Tehran turut menuduh Rafael Grossi, ketua IAEA, "mengkhianati tugasnya" kerana tidak mengutuk serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas tapak nuklear Iran. Dalam pada itu, parlimen Iran minggu ini mengundi untuk menggantung kerjasama dengan agensi itu.
Pada Jumaat, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata di X bahawa desakan Encik Grossi untuk melawat tapak yang dibom itu adalah "tidak bermakna dan mungkin berniat jahat".
Bercakap kepada penyiar Amerika CBS pada Ahad, Amir Saeid Iravani, duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menafikan terdapat sebarang ancaman terhadap merinyu nuklear di Iran, sambil menegaskan bahawa mereka berada "dalam keadaan selamat". Hanya tugas mereka digantung buat sementara waktu.
Secara berasingan, Perancis, Jerman dan Britain pada Isnin mengutuk "ancaman" terhadap ketua badan pengawas nuklear PBB selepas Iran menolak permintaannya untuk melawat kemudahan nuklear yang dibom Israel dan Amerika Syarikat.
Para Menteri Luar Jean-Noel Barrot, Johann Wadephul dan David Lammy berkata dalam kenyataan bersama: "Perancis, Jerman dan United Kingdom mengutuk ancaman terhadap pengarah agensi IAEA Rafael Grossi dan menegaskan sokongan penuh kami kepada agensi tersebut."
Mereka juga menggesa pihak berkuasa Iran supaya tidak mengambil sebarang langkah untuk menghentikan kerjasama dengan IAEA.
"Kami menggesa Iran untuk segera menyambung kerjasama penuh selaras dengan kewajiban undang-undang dan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan dan keamanan kakitangan IAEA."
Argentina, negara asal Encik Grossi, juga mengecam "ancaman" dari Iran terhadap beliau.
Tidak dinyatakan ancaman mana yang mereka maksudkan, tetapi akhbar ultra-konservatif Iran, Kayhan, baru-baru ini mendakwa terdapat dokumen-dokumen yang menunjukkan bahawa Encik Grossi adalah seorang pengintip Israel dan patut dihukum mati.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.