Skip to main content

Dunia

Iran tegaskan sokongan teguh terhadap kedaulatan Syria, sedang Israel pergiat serangan

Anggaran Waktu Membaca:
Iran tegaskan sokongan teguh terhadap kedaulatan Syria, sedang Israel pergiat serangan

Pemimpin ulung Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada 16 Julai, 2025. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 19 Jul 2025 12:07PM Dikemas Kini : 19 Jul 2025 12:09PM
TEHRAN: Iran pada Jumaat (18 Jul) sekali lagi mengulangi sokongan teguhnya terhadap kedaulatan dan kewibawaan wilayah Syria, sambil mengutuk keras negara-negara Eropah kerana didakwa bersikap berat sebelah terhadap serangan Israel di Syria, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei menerusi catatan di platform X menuduh Kesatuan Eropah (EU) memutarbelitkan tindakan Israel dengan menyifatkannya hanya sebagai “serangan yang semakin meningkat ke atas wilayah Syria.”

“Dengan menyifatkan secara salah tindakan pencerobohan terang-terangan oleh Israel... EU seolah-olah menafikan sama sekali kewujudan integriti moral,” tulisnya, menyifatkan kenyataan itu sebagai “manipulasi psikologi pada tahap tertinggi” dan menuduh blok itu menyembunyikan sikap bersubahat di sebalik nama “diplomasi.”

Encik Eismaeil Baghaei berkata Iran, yang sekian lama menentang sebarang pencerobohan dan pelanggaran undang-undang, “menolak kemarahan terpilih dan dwistandard.”

“Seperti biasa, kami berdiri teguh bersama rakyat Syria dan menyokong kedaulatan serta integriti wilayah Syria dengan lantang dan jelas,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di wilayah Suwayda, selatan Syria menyusuli pertempuran maut yang tercetus pada Ahad lalu antara kumpulan bersenjata Druze dan Badwi, sehingga mendorong campur tangan oleh tentera rejim.

Israel dengan alasan melindungi masyarakat Druze memperhebatkan serangannya di seluruh Syria, termasuk melancarkan serangan udara di empat wilayah, antaranya ke atas istana presiden di Damsyik pada Rabu (16 Jul).

Pada Khamis malam (17 Jul), Pejabat Presiden Syria mengumumkan satu perjanjian baharu hasil perantaraan pihak Arab dengan Amerika.

Di bawah perjanjian itu, rejim tentera Israel akan mula berundur dari Suwayda bagi meredakan ketegangan.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita