Iran tawan kapal tangki minyak Britain
Ketegangan terus meningkat di Teluk Hormuz dengan Iran mengesahkan ia sudah menawan sebuah kapal tangki minyak Britain.
TEHRAN: Ketegangan terus meningkat di Teluk Hormuz dengan Iran mengesahkan ia sudah menawan sebuah kapal tangki minyak Britain.
Sebuah lagi kapal tangki yang ditahannya dibenarkan meneruskan pelayaran bersama anak-anak kapalnya.
Kapal "Stena Impero" yang membawa 23 anak kapal sedang dalam pelayaran ke sebuah pelabuhan di Arab Saudi apabila ia ditahan di Selat Hormuz.
Media Iran mengatakan kapal tangki itu terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah bot menangkap ikan sebelum ditahan.
Kapal Britain itu ditawan kerana gagal menghormati peraturan maritim antarabangsa ketika melewati Selat Hormuz.
Iran mendakwa kapal tersebut dihantar ke Pelabuhan Hormozgan dan anak-anak kapalnya akan kekal di dalam kapal "untuk keselamatan mereka" sehingga berakhirnya siasatan.
Penahanan kapal tangki Britain itu berlaku dua minggu selepas Tehran mengancam untuk bertindak balas sekiranya London tidak melepaskan kapal tangki Iran yang ditahan Selat Gibraltar, kerana didakwa menuju ke Syria dan "melanggar sekatan EU."
Sementara itu Setiausaha Luar Britain Jeremy Hunt memberi amaran Iran akan menghadapi kesan serius jika ia tidak membebaskan segera kapal Britain itu.
Encik Hunt berkata, kebebasan dan keselamatan pelayaran di Teluk Hormuz adalah penting, sambil menambah perbuatan Iran merampas dua buah kapal tangki minyak di Selat Hormuz tidak dapat diterima sama sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.