Iran pertimbang beli jet pejuang Chengdu J-10 buatan China
Iran sedang mempertimbangkan untuk membeli jet pejuang moden buatan China menyusuli gencatan senjata dengan Israel, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Sebuah model jet pejuang J-10C dipamerkan di reruai AVIC semasa Pameran Udara Paris ke-55 di Lapangan Terbang Le Bourget. (Gambar: Nicolas Economou/NurPhoto/ NurPhoto melalui AFP)
Akhbar harian Iran Entekhab pada Selasa (3 Jul) melaporkan bahawa Tehran berminat terhadap versi eksport jet pejuang Chengdu J-10.
Laporan itu turut mengaitkan lawatan Menteri Pertahanan Iran ke Qingdao, sebuah bandar pesisir di China, beberapa hari lalu bagi menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), sebagai sebahagian daripada rundingan berkaitan pembelian berkenaan.
Banyak pesawat tentera ketenteraan Iran, termasuk model F-14 masih digunakan sejak era pra-Revolusi Iran 1979 ketika Tehran mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ketenteraan dengan Rusia, Iran berusaha selama bertahun-tahun untuk mendapatkan jet pejuang moden Su-35, namun belum berjaya.
Sehubungan itu, doktrin pertahanan Iran lebih menumpukan kepada kumpulan bersenjata serantau serta pembangunan program peluru berpandu dan dron.
Sekatan antarabangsa juga menyebabkan Iran hampir terputus daripada sistem kewangan global.
Menurut laporan Entekhab, urus niaga pertahanan dengan China secara teorinya tetap boleh berlaku, namun tidak jelas sama ada Beijing bersedia untuk menjualnya kepada Iran.
Awal dari itu, pada 13 Jun, Israel melancarkan serangan ke atas Iran dan membedil beberapa sasaran di seluruh negara itu.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mendakwa tindakan itu diambil sebagai tindak balas terhadap ancaman daripada program nuklear Iran.
Iran kemudiannya membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron, sebelum kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.