Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Iran luluskan undang-undang hidupkan semula aktiviti nuklear

 Parlimen Iran meluluskan rang undang-undang, yang disebut-sebut sebagai "langkah strategik untuk menghapusan sekatan," bertujuan menghidupkan kembali aktiviti nuklear negara itu setelah pembunuhan ahli fizik nuklear Tehran Mohsen Fakhrizadeh, umum jurucakap jawatankuasa parlimen Abolfazl Amouei.

Anggaran Waktu Membaca:
Iran luluskan undang-undang hidupkan semula aktiviti nuklear

Bendera Iran. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 30 Nov 2020 04:29PM Dikemas Kini : 30 Nov 2020 04:36PM

TEHRAN: Parlimen Iran meluluskan rang undang-undang, yang disebut-sebut sebagai "langkah strategik untuk menghapusan sekatan," bertujuan menghidupkan kembali aktiviti nuklear negara itu setelah pembunuhan ahli fizik nuklear Tehran Mohsen Fakhrizadeh, umum jurucakap jawatankuasa parlimen Abolfazl Amouei.

Saintis berkenaan, yang juga Ketua Pusat Inovasi Kementerian Pertahanan Iran, maut selepas diserang lelaki bersenjata di bandar Absard di wilayah Tehran pada Jumaat (27 Nov), lapor agensi berita Sputnik memetik Tehran Times.

Jawatankuasa Keselamatan Nasional dan Dasar Luar Parlimen Iran membincangkan rang undang-undang "langkah strategik untuk menghapusan sekatan" pada Ahad, meluluskan tiga perkara.

"Agenda utama adalah membincangkan perkara ‘Pelan Tindakan Strategik untuk menghapuskan sekatan’. Pertemuan hari ini, tiga perkara mengenai rancangan ini dibahaskan semula dan mendapat kelulusan perwakilan dan pindaan telah dibuat pada klausa itu. Perwakilan dari Kementerian Luar Negeri, Bank Pusat dan Pusat Penyelidikan Parlimen juga menghadiri mesyuarat itu," kata Abolfazl Amouei. 

Menurut Amouei, tiga perkara yang dibincangkan termasuk langkah-langkah, andai ia diluluskan, akan meningkatkan aktiviti nuklear Iran secara signifikan.

Rang undang-undang itu bermaksud meningkatkan tahap pengayaan uranium hingga 20 peratus atau lebih - uranium sejumlah itu dianggap sebagai senjata kelas A. Pada masa ini, Iran memperkaya uranium lebih daripada empat peratus, manakala Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) hanya membenarkan pada tahap 3.67 peratus.

Ia juga termasuk pemulihan reaktor nuklear Arak, yang dirancang dibangunkan semula untuk produksi radioisotop sehingga tidak menghasilkan plutonium kelas senjata di bawah JCPOA, dan pembangunan reaktor lain. Peruntukan undang-undang lain mewajibkan Tehran untuk mengabaikan pematuhan secara sukarela dengan Protokol Tambahan kepada perjanjian perlindungan dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Anggota kabinet meluluskan rang undang-undang itu menerusi undian 232 berbalas 14.

Sumber : Bernama/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan