Iran lancar dron serang Israel
BAITULMAKDIS: Iran telah melancarkan serangan balas terhadap Israel, beberapa hari selepas mengancam akan berbuat demikian.
Perkara tersebut disahkan jurucap tentera Israel, Daniel Hagari.
"Iran telah melancarkan dron dari wilayah mereka dan menuju ke Israel. Sistem pertahanan udara Israel dalam keadaan berjaga-jaga," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 4.00 pagi waktu Singapura.
Menurutnya, tentera udara dan laut Israel turut diarah bersiap sedia.
"Pihak tentera akan terus memantau keadaan," katanya.
Agensi berita Iran, IRNA melaporkan kumpulan pertama peluru berpandu balistik telahpun dilancarkan ke arah Israel.
Menurut tentera Israel, Iran melancarkan lebih 100 dron dan peluru berpandu sejauh ini dan sesetengah daripadanya telah dipintas di ruang udara Syria dan Jordan.
Tambahnya, serangan Iran itu menandakan peningkatan krisis yang mendadak dan berbahaya.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sedang menghimpunkan kabinet perangnya.
Israel juga membatalkan lawatan sekolah serta kegiatan sekolah yang lain yang dirancangkan sepanjang tempoh beberapa hari akan datang.
Leftenan Kolonel Hagari berkata pihak tentera bersedia untuk menangkis sebarang serangan yang dilancarkan ke atas mereka.
Jordan telah mengisytiharkan keadaan darurat sejurus selepas menutup ruang udaranya.
Iraq juga menutup ruang udaranya buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.
Menukil sumber tentera, Reuters melaporkan Syria telah meletakkan sistem pertahanan udaranya dalam keadaan berjaga-jaga di sekitar ibu kota Damsyik dan pangkalan-pangkalan besar sekiranya Israel bertindak balas.
Iran telah berikrar membalas dendam atas apa yang disebutnya sebagai serangan Israel ke atas konsulatnya di Damsyik pada 1 April yang membunuh tujuh pegawai Pengawal Revolusi termasuk dua komander kanan.
Israel tidak mengesahkan mahupun menafikan bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, pada Jumaat memberi amaran kepada Iran supaya tidak menyerang Israel dan berjanji untuk berdiri bersama Israel menentang Iran, kata Rumah Putih, ketika Encik Biden mengadakan perbincangan krisis dengan pasukan keselamatan negara tertingginya.
Encik Biden memendekkan lawatannya ke Delaware selepas mendapat berita mengenai serangan Iran ketika masih dalam helikopternya dalam perjalanan pulang ke Washington. Rumah Putih berkata "Iran telah memulakan serangan udara terhadap Israel" dan ia "kemungkinan akan berlaku selama beberapa jam".
"Pendirian Presiden Biden sudah jelas: Sokongan kami terhadap keselamatan Israel adalah kukuh," kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Adrienne Watson dalam satu kenyataan. "Amerika Syarikat akan berdiri bersama rakyat Israel dan menyokong pertahanan mereka terhadap ancaman dari Iran."
Encik Biden dijadual bertemu pegawai tertingginya termasuk Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin, Setiausaha Negara Antony Blinken dan ketua CIA Bill Burns, tambah Rumah Putih.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.