Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Iran, Itali & Saudi galak dialog antara India-Pakistan

Anggaran Waktu Membaca:
Iran, Itali & Saudi galak dialog antara India-Pakistan

(Gambar malaysiakini)

Diterbitkan : 09 May 2025 02:04PM Dikemas Kini : 09 May 2025 02:06PM
NEW DELHI: Usaha diplomatik sedang dijalankan bagi menggalakkan dialog antara India dan Pakistan di tengah-tengah ketegangan ketenteraan antara kedua-dua negara jiran di Asia Selatan itu.

Diplomat tertinggi daripada beberapa negara, termasuk Iran, Itali dan Arab Saudi membincangkan kebuntuan serantau itu bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dan Menteri Ehwal Luar India Subrahmanyam Jaishankar pada Khamis (8 Mei).

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi yang berada di New Delhi bagi mengadakan rundingan dengan pegawai kanan India, mengadakan perbualan telefon dengan Encik Dar pada petang Khamis "berhubung perkembangan keselamatan terkini di Asia Selatan menyusuli peningkatan ketegangan antara India dan Pakistan baru-baru ini," menurut Kementerian Luar Iran menerusi platform media sosial X.

Selain berinteraksi dengan Encik Jaishankar, Encik Araghchi turut mengadakan pertemuan selama 90 minit bersama Penasihat Keselamatan Negara India Ajit Kumar Doval.

Dalam pertemuan itu, "kedua-dua pihak menekankan keperluan untuk memelihara keamanan dan kestabilan di rantau Asia Selatan serta menggariskan kepentingan melaksanakan langkah yang bersesuaian untuk meredakan ketegangan," menurut kenyataan Iran.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah Kaja Kallas dan Timbalan Perdana Menteri Itali merangkap Menteri Luar Antonio Tajani turut membincangkan ketegangan di rantau itu dalam perbualan telefon dengan Encik Dar dan Encik Jaishankar.

Menteri Luar India itu turut berkongsi perspektif mengenai keperluan "menangani keganasan secara tegas" dalam pertemuannya dengan Menteri Luar Arab Saudi Adel Al Jubeir yang sedang melawat India.

Media Pakistan melaporkan bahawa menteri Arab Saudi itu akan ke Islamabad pada Jumaat (9 Mei).

Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio turut membincangkan peningkatan ketegangan ketenteraan India-Pakistan dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Menteri Luar India.

"Setiausaha Marco Rubio menekankan keperluan untuk meredakan ketegangan dengan segera. Beliau menyatakan sokongan Amerika terhadap dialog secara langsung antara India dan Pakistan serta menggalakkan usaha berterusan bagi memperbaiki komunikasi," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Tammy Bruce mengenai perbualan Encik Rubio dengan Encik Shehbaz.

Ketegangan antara India dan Pakistan meningkat secara mendadak minggu ini selepas India melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan pada 7 Mei.

Menurut India, serangan sebelum subuh yang dinamakan "Operasi Sindoor" adalah sebagai tindak balas terhadap serangan bersenjata ke atas pelancong di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, yang menurut negara itu didalangi oleh Pakistan.

Pakistan menyifatkan dakwaan India itu sebagai "rekaan semata-mata" dan berikrar akan membalas serangan udara India pada masa dan tempat "pilihan kami."

Pada Khamis, berlaku insiden saling berbalas serangan peluru berpandu dan dron antara kedua-dua negara, menurut pegawai India dan Pakistan.
Sumber : Bernama/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan