Skip to main content

Dunia

Iran, Israel saling berbalas serangan untuk hari ketiga

Anggaran Waktu Membaca:
Iran, Israel saling berbalas serangan untuk hari ketiga

Pasukan keselamatan Israel periksa sebuah rumamh yang runtuh selepas ia diserang peluru meriam Iran pada 15 Jun 2025. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 15 Jun 2025 09:28AM Dikemas Kini : 15 Jun 2025 10:04AM
BAITULMAKDIS: Bunyi semboyan serangan udara dan letupan kedengaran di Baitulmakdis dan Tel Aviv pada awal Ahad (15 Jun), menurut para wartawan AFP, sedang Israel dan Iran saling berbalas serangan untuk hari ketiga.

Dalam satu catatan di wadah X, tentera Israel menyatakan berjuta-juta penduduk Israel "berlari mencari perlindungan sedang semboyan dibunyikan" di beberapa bandar dan masyarakat di merata negara itu.

Iran turut menghidupkan sistem pertahanan udara di beberapa wilayahnya pada Sabtu (14 Jun) selepas Israel memberi amaran kepada rakyatnya supaya berlindung.

Iran berikrar untuk membalas dendam terhadap serangan Israel pada Jumaat (13 Jun) yang memusnahkan loji nuklear serta membunuh pemimpin tenteranya.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pula berikrar untuk menyerang "semua sasaran rejim Ayatollah", manakala Presiden Iran Masoud Pezeshkian memberi amaran bahawa "tindak balas yang lebih teruk dan padat akan menyusul".

Tehran telah membatalkan rundingan nuklear yang Washington menyatakan adalah satu-satunya cara untuk menghentikan serangan Israel.

Namun PM Netanyahu berkata serangan itu tidak seberapa berbanding apa yang akan dilihat oleh Iran dalam hari-hari mendatang.

Pada Sabtu, tentera Israel menyatakan lebih banyak peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke arah Israel dan ia sedang berusaha untuk memintasnya.

Ia juga menyatakan bahawa ia sedang menyerang sasaran tentera di Tehran.

Menurut laporan televisyen rasmi di Iran, negara itu telah melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel.

MASYARAKAT ANTARABANGSA LUAH RASA PRIHATIN

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau dan Presiden Rusia Vladimir Putin setuju perang "harus dihentikan".

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dalam panggilan dengan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman, memberi amaran tentang "perang yang membinasakan".

Israel dilaporkan menyerang loji Natanz Iran dan membunuh ketua tentera Mohammad Bagheri dan ketua IRGC Hossein Salami.

Lebih 20 komander terbunuh, menurut Israel. Iran mengesahkan lima Pengawal dan 30 kakitangan lain terbunuh, dengan dua kakitangan ambulans terkorban di Urmia.

Iran menggesa perpaduan manakala Encik Netanyahu menggesa rakyat Iran supaya bangkit.

Tehran memberi amaran kepada United Kingdom, Perancis, dan Amerika tentang tindakan balas jika negara-negara itu membantu Israel.
Sumber : AP/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita