Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Iran gesa PBB kutuk 'jenayah perang' Israel di Baitulmakdis

Iran pada Sabtu (8 Mei) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengutuk tindakan keras polis Israel yang menyebabkan pertumpahan darah di pekarangan Masjid Al-Aqsa di timur Baitulmakdis yang didudukinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Iran gesa PBB kutuk 'jenayah perang' Israel di Baitulmakdis

Tentera Israel lontar bom renjatan ke arah rakyat Palestin di pekarangan Al-Aqsa pada 7 Mei 2021 (Gambar: Ahmad GHARABLI/AFP)

Diterbitkan : 08 May 2021 09:11PM Dikemas Kini : 08 May 2021 09:16PM

TEHRAN: Iran pada Sabtu (8 Mei) menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengutuk tindakan keras polis Israel yang menyebabkan pertumpahan darah di pekarangan Masjid Al-Aqsa di timur Baitulmakdis yang didudukinya.

Tehran menyifatkan tindakan tersebut sebagai "jenayah perang".

Lebih 160 orang cedera pada lewat Jumaat dalam pertempuran dengan polis Israel di tapak suci ketiga Islam. Batu-bata, botol dan mercun dicampak ke arah para pegawai yang membalasnya dengan melepaskan peluru getah dan bom renjatan ke arah orang ramai.

Iran "mengutuk serangan ke atas Masjid Al-Aqsa ... oleh rejim tentera penjajah Quds (Baitulmakdis)," kata jurucakap kementerian luar Saeed Khatibzadeh dalam satu kenyataan.

"Jenayah perang ini sekali lagi membuktikan kepada dunia sifat jenayah rejim Zionis yang haram," tegasnya.

Iran "menggesa PBB dan institusi-institusi antarabangsa yang berkaitan supaya bertindak atas dasar kewajipan mereka untuk menangani jenayah perang ini".

Ketegangan di Baitulmakdis meningkat sejak beberapa minggu lalu ketika rakyat Palestin mengadakan tunjuk perasaan membantah larangan Israel terhadap akses ke beberapa bahagian Al-Aqsa selama bulan Ramadan, selain di tengah-tengah ancaman pengusiran yang dihadapi empat keluarga Palestin yang rumah mereka dituntut oleh petempatan Yahudi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Jumaat menyeru Israel supaya menamatkan pengusiran secara paksa di Baitulmakdis timur yang didudukinya, dengan memberi amaran tindakan itu boleh dianggap sebagai "jenayah perang".

Pergolakan pada Jumaat berlaku pada Hari Perpaduan Bersama rakyat Palestin Baitulmakdis yang diadakan setiap tahun oleh Iran dan sekutunya di rantau itu.

Dalam ucaptamanya, pemimpin agung Iran Ayatollah Ali Khamenei menyifatkan Israel sebagai "bukan sebuah negara, tetapi sebuah pangkalan pengganas" dan menekankan bahawa "memerangi rejim yang terkutuk ini ... adalah kewajipan semua orang".

Sokongan untuk perjuangan Palestin menjadi tunggak dasar luar Iran sejak revolusi Islam pada 1979, dan Iran dan sekutunya dianggap oleh Israel sebagai musuh terbesarnya.

Israel menduduki Baitulmakdis timur semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan kemudian menaklukinya, dalam satu langkah yang tidak diiktiraf oleh sebahagian besar masyarakat antarabangsa. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan