Iran gesa Korea Selatan jangan politikkan isu kapal dirampas; tuntut dananya dikembalikan
Iran menyatakan pada Ahad (10 Jan) bahawa Korea Selatan tidak seharusnya mempolitikkan isu kapalnya yang dirampas oleh Pengawal Revolusi Iran di Teluk Parsi, sambil menggesa Seoul supaya melepaskan dana bernilai AS$7 bilion (S$9.3 bilion) yang dibekukan di tengah-tengah sekatan Amerika Syarikat.
Kapal Korea Selatan MT Hankuk Chemi yang ditahan Iran pada 4 Jan 2021 (Gambar: IRGC/WANA menerusi REUTERS)
DUBAI: Iran menyatakan pada Ahad (10 Jan) bahawa Korea Selatan tidak seharusnya mempolitikkan isu kapalnya yang dirampas oleh Pengawal Revolusi Iran di Teluk Parsi, lapor media rasmi Iran, sambil menggesa Seoul supaya melepaskan dana bernilai AS$7 bilion (S$9.3 bilion) yang dibekukan di tengah-tengah sekatan Amerika Syarikat.
Naib Menteri Luar Korea Selatan Choi Jong-kun sudahpun tiba di Tehran pada Ahad untuk merundingkan isu kapal MT Hankuk Chemi, yang dirampas oleh tentera Iran pada Isnin (4 Jan) dekat Selat Hormuz.
Iran sebelum ini menolak dakwaan yang menuduh negara itu sengaja menahan kapal tangki dan 20 anak kapalnya sebagai tebusan dan ia sebaliknya menuduh Seoul sengaja membekukan dana Iran dan dijadikan sebagai "tebusan".
Timbalan Menteri Luar Iran Abbas Araqchi memberitahu rakan sejawatannya dari Korea Selatan bahawa Seoul "seharusnya mengelakkan daripada mempolitikkan isu tersebut dan menjauhi propaganda tanpa faedah dan membiarkan proses undang-undang berjalan", lapor TV rasmi Iran.
Jurucakap pemerintah Iran berkata pada Selasa bahawa kapal itu dirampas mengikut arahan mahkamah Iran kerana "mencemari alam sekitar".
Pengendali kapal yang berpangkalan di Busan, Taikun Shipping bagaimanapun, memberitahu Reuters bahawa tiada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa pihak berkuasa Iran sedang menyiasat sebarang kes pencemaran alam sekitar.
"Selama kira-kira dua tahun setengah, bank-bank Korea Selatan telah membekukan dana Iran ... ini tidak boleh diterima sama sekali ... Pada pandangan kami, ini lebih disebabkan oleh kekurangan tekad politik Seoul (untuk menyelesaikan masalah) dan bukan sekatan-sekatan Amerika Syarikat," lapor agensi berita Fars yang menukil Encik Araqchi.
Amerika Syarikat mengenakan semula sekatan ke atas Iran pada 2018 setelah Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Tehran yang dipersetujui oleh enam kuasa besar dunia pada 2015. Berdasarkan perjanjian itu, Iran bersetuju untuk menghadkan pengayaan nuklear sebagai ganti untuk menarik balik sekatan-sekatan yang dikenakan terhadap negara itu.
Iran bertindak balas terhadap sekatan Amerika Syarikat dengan mengabaikan sekatan-sekatan tersebut. Ini dijangka akan menyulitkan usaha bakal Presiden Amerika Syarikat Joe Biden untuk menyertai semula perjanjian tersebut, dengan Tehran menyatakan pada Isnin bahawa pihaknya sudah menyambung semula 20 peratus pengayaan uranium di kemudahan nuklear bawah tanah Fordow.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.