Iran gesa badan nuklear PBB hentikan pendekatan 'berat sebelah'
Presiden Iran berkata pada Khamis (10 Jul) bahawa badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu menghentikan "pendekatan berat sebelah" jika Tehran meneruskan kerjasama dengan pihaknya berhubung program nuklear Republik Islam itu, lapor media rasmi Iran.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berucap semasa satu mesyuarat di Ilam, Iran, pada 12 Jun 2025. (Gambar fail: Edaran melalui REUTERS/Laman web Presiden Iran/WANA)
Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada minggu lalu melaksanakan undang-undang yang menggantung kerjasama Iran dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
IAEA pula menyatakan ia sudah mengeluarkan kumpulan terakhir pemeriksanya dari Iran.
Hubungan antara Iran dengan IAEA bertambah keruh sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bom ke atas kemudahan nuklear Iran pada Jun, sambil menyatakan mereka mahu menghalang Tehran daripada membangunkan senjata atom.
Iran bagaimanapun menyatakan program nuklear yang dikendalikannya hanya bagi tujuan damai dan menafikan hasrat membangunkan senjata atom.
"Kerjasama berterusan antara Iran dengan agensi tersebut (IAEA) bergantung kepada sama ada pihak itu akan membetulkan pendekatan berat sebelah terhadap isu nuklear," lapor media rasmi Iran yang menukil Presiden Pezeshkian yang memberitahu perkara itu kepada Presiden Majlis Eropah Antonio Costa menerusi panggilan telefon.
"Sebarang keganasan berulang (terhadap Iran) akan dibalas dengan tindak balas yang lebih tegas dan dikesali," katanya.
Tehran juga menuduh IAEA gagal mengecam serangan oleh Amerika Syarikat dan Israel dan mendakwa badan pemantau nuklear itu membuka laluan kepada pengeboman tersebut dengan mengeluarkan ketetapan yang mengisytiharkan Iran melanggar kewajipannya di bawah perjanjian untuk tidak memiliki senjata nuklear.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.