Skip to main content

Dunia

Iran & Eropah bersemuka: Nasib nuklear Tehran ditentukan

Iran dan kuasa-kuasa Eropah mengadakan perbincangan "serius, jujur, dan terperinci" pada Jumaat (25 Jul) mengenai program nuklear Tehran, sedang kedua-dua pihak berusaha untuk mengelakkan luputnya sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang boleh dikenakan semula secara automatik pada Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
Iran & Eropah bersemuka: Nasib nuklear Tehran ditentukan

Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot (tengah) berbual dengan, dari kiri, Menteri Luar Malta Ian Borg, Menteri Luar Slovenia Tanja Fajon, Menteri Luar Slovakia Juraj Blanar dan Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares Bueno semasa mesyuarat menteri-menteri luar EU di bangunan Majlis Eropah di Brussels, pada Isnin, 23 Jun 2025. (Gambar: AP/Virginia Mayo)

ISTANBUL: Iran dan kuasa-kuasa Eropah mengadakan perbincangan "serius, jujur, dan terperinci" pada Jumaat (25 Jul) mengenai program nuklear Tehran, sedang kedua-dua pihak berusaha untuk mengelakkan luputnya sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang boleh dikenakan semula secara automatik pada Oktober.

Mesyuarat di Istanbul itu menandakan rundingan langsung pertama antara pegawai Iran dengan diplomat Barat sejak serangan udara Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran bulan lalu. Ia berlangsung kira-kira empat jam di konsulat Iran dan dihadiri oleh wakil-wakil dari Kesatuan Eropah dan kumpulan E3: Perancis, Britain, dan Jerman.

IRAN, EROPAH BERTUKAR CADANGAN

Timbalan Menteri Luar Iran Kazem Gharibabadi berkata kedua-dua pihak membentangkan idea-idea khusus berkaitan dengan pemeriksaan nuklear dan pengurangan sekatan.

"Sambil mengkritik keras pendirian mereka mengenai perang pencerobohan baru-baru ini terhadap rakyat kami, kami menjelaskan kedudukan prinsip kami, termasuk mengenai apa yang dipanggil mekanisme 'snapback'," katanya. "Ia telah dipersetujui bahawa rundingan mengenai perkara ini akan diteruskan."

Negara-negara E3, bersama China dan Rusia, kekal sebagai pihak dalam perjanjian nuklear 2015 dari mana Amerika Syarikat menarik diri pada 2018. Perjanjian itu mengangkat sekatan antarabangsa ke atas Iran sebagai pertukaran untuk sekatan ke atas aktiviti nuklearnya.

TARIKH AKHIR SEKATAN MAKIN DEKAT

Perbincangan tertumpu kepada tamatnya Ketetapan Majlis Keselamatan PBB 2231, yang menyokong perjanjian nuklear 2015 dan dijadual luput pada 18 Oktober.

Jika tiada tindakan diambil sebelum itu, semua sekatan PBB ke atas Iran akan ditarik balik. Walau bagaimanapun, E3 boleh mencetuskan mekanisme "pengembalian semula sekatan." sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh tersebut, mengenakan semula sekatan ke atas sektor termasuk tenaga, perbankan, dan pertahanan.

Untuk membolehkan masa bagi proses ini, diplomat Eropah menetapkan akhir Ogos sebagai tarikh akhir tidak rasmi untuk menentukan sama ada diplomasi dengan Iran dapat dihidupkan semula. Pegawai-pegawai berkata Tehran perlu membuat komitmen yang jelas, termasuk rundingan akhirnya dengan Washington, kerjasama baharu dengan badan pemerhati nuklear PBB, dan menjelaskan kira-kira 400 kg uranium hampir gred senjata yang dilaporkan tidak dapat dikesan sejak serangan bulan lalu.

IRAN TENTANG TEKANAN LANJUTKAN KETETAPAN PBB

Tehran sudah menentang idea untuk melanjutkan Ketetapan 2231. Seorang jurucakap kementerian luar menyebut cadangan sedemikian "tidak bermakna dan tidak berasas" sebelum mesyuarat Istanbul.

Sekalipun demikian, Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi menzahirkan keyakinan yang berhati-hati. Bercakap di Singapura, beliau berkata lawatan pemeriksaan boleh disambung semula tahun ini jika aturan teknikal dibuat.

"Kita perlu bersetuju ke mana hendak pergi, bagaimana untuk melakukannya. Kita perlu mendengar Iran dari segi apa yang mereka fikir perlu menjadi langkah berjaga-jaga yang perlu diambil," kata Encik Grossi.

SERANGAN AS DAN KEMUDAHAN NUKLEAR

Amerika Syarikat sudah mengadakan lima pusingan rundingan dengan Iran sebelum tindakan ketenteraan Jun lalu, yang menurut Presiden Donald Trump "menghapuskan" cita-cita senjata nuklear Iran.

Walaupun Tehran menegaskan programnya adalah semata-mata untuk tujuan awam, NBC News melaporkan bahawa semakan risikan Amerika Syarikat menyimpulkan bahawa hanya satu daripada tiga tapak yang disasarkan rosak teruk, manakala dua yang lain mengalami kerosakan yang kurang meluas.

Iran secara konsisten menafikan ia berusaha untuk membina senjata nuklear.
Sumber : Reuters/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita