Skip to main content

Dunia

Iran bertegas tidak mahu bincang peluru berpandu, sistem pertahanannya di meja rundingan

Anggaran Waktu Membaca:
Iran bertegas tidak mahu bincang peluru berpandu, sistem pertahanannya di meja rundingan
Menteri Luar Turki Hakan Fidan (kanan) dan rakan sejawatannya dari Iran, Abbas Araghchi, mengadakan sidang media bersama di Istanbul, Turki, pada Jumaat, 30 Januari 2026. (Gambar: AP/Khalil Hamra)
Diterbitkan : 31 Jan 2026 07:43AM Dikemas Kini : 31 Jan 2026 08:46AM

ISTANBUL: Diplomat tertinggi Iran berkata pada Jumaat (30 Jan) bahawa keupayaan peluru berpandu dan pertahanan negaranya “tidak akan sesekali” menjadi bahan rundingan.

Ini sedang Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilihat meredakan ancaman serangan selepas kekuatan ketenteraan dipertingkatkan di rantau itu.

Tehran dan Washington saling bertukar amaran sejak Encik Trump mula mengancam untuk campur tangan berhubung tindakan keras berdarah terhadap tunjuk perasaan baru-baru ini dan menghantar armada tentera laut ke Timur Tengah.

Namun, presiden Amerika itu meredakan ketegangan pada lewat Khamis dengan berkata beliau berharap dapat mengelakkan tindakan ketenteraan dan bahawa rundingan dengan Iran berkemungkinan diadakan.

Ini selepas memberi tekanan kepada Tehran untuk mencapai perjanjian mengenai program nuklearnya.

Negara Barat percaya bahawa program nuklear itu bertujuan untuk menghasilkan bom atom.

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata Tehran “bersedia untuk memulakan rundingan sekiranya ia berlangsung atas dasar yang setara, berlandaskan kepentingan bersama dan saling menghormati”, semasa lawatan ke Turki, yang mengetuai usaha diplomatik untuk menjadi perantara antara Tehran dan Washington.

Namun, beliau menegaskan: “Saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa keupayaan pertahanan dan peluru berpandu Iran tidak akan sesekali tertakluk kepada rundingan,” sambil menambah bahawa tiada rancangan setakat ini untuk bertemu pegawai Amerika bagi menyambung semula rundingan.

Laman berita Axios pada Isnin melaporkan bahawa pegawai Amerika berkata sebarang perjanjian dengan Tehran perlu merangkumi had ke atas simpanan peluru berpandu jarak jauhnya, selain pemindahan keluar uranium yang diperkaya dari negara itu serta larangan pengayaan secara bebas.

Serhan Afacan, pengarah IRAM, iaitu Pusat Pengajian Iran yang berpangkalan di Ankara, memberitahu AFP bahawa usaha untuk merundingkan perjanjian mengenai isu nuklear bersama isu-isu lain pada masa ini berkemungkinan “mustahil”.
 

Sumber : AP/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita