Skip to main content

Dunia

Iran beri amaran kepada AS jangan mulakan perang ekonomi

Presiden Iran Hassan Rouhani memberi amaran kepada Amerika Syarikat supaya jangan memulakan perang ekonomi dengan negara republik Islam itu, lapor agensi berita Xinhua, memetik Press TV.

Anggaran Waktu Membaca:
Iran beri amaran kepada AS jangan mulakan perang ekonomi

Presiden Donald Trump dan Presiden Hassan Rouhani. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 24 Jul 2018 07:47AM Dikemas Kini : 24 Jul 2018 07:50AM

TEHRAN: Presiden Iran Hassan Rouhani memberi amaran kepada Amerika Syarikat supaya jangan memulakan perang ekonomi dengan negara republik Islam itu, lapor agensi berita Xinhua, memetik Press TV.

"Amerika perlu tahu berdamai dengan Iran adalah ibu kepada semua keamanan, manakala peperangan dengan Iran pula ibu kepada semua peperangan," katanya.

Selepas menarik diri daripada perjanjian nuklear pada 8 Mei, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berikrar akan menguatkuasakan semula sekatan ke atas Iran, di samping mengenakan tindakan terhadap negara-negara yang mempunyai hubungan perdagangan dengan negara Islam itu.

Rumah Putih berikar akan menjatuhkan penjualan minyak Iran kepada "sifar", yang disifatkan Iran sebagai satu usaha mencetuskan perang ekonomi.

"Ancaman sedemikian memberi kesan buruk tetapi akan menyatukan lagi rakyat Iran. Pastinya ia akan menjejaskan negara tetapi manfaatnya akan lebih besar."

Encik Hassan Rouhani mengancam jika Iran tidak dapat menjual minyaknya, mustahil juga bagi negara-negara lain di rantau itu untuk menjual minyak mereka.

"Jangan cuba bermain dengan api, nanti akan menyesal," katanya.

Beliau berkata, pengunduran Amerika dari Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) mengasingkan negara itu dari negara-negara lain.

"Menerusi JCPOA, Amerika akan bertempur dengan seluruh dunia. Amerika tidak akan diberi peluang untuk berpatah balik."

JCPOA, yang ditandatangani pada Julai 2015, menyekat aktiviti nuklear Iran sebagai pertukaran untuk mengurangkan sekatan ekonomi.

Presiden Trump juga menggesa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa supaya meningkatkan langkah pemeriksaan ke atas kawasan tentera Iran, bagaimanapun ditolak Tehran. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita