Iran beri amaran akan serang pangkalan tentera Amerika di Timur Tengah jika diserang
Tentera Amerika dan Qatar menunggu ketibaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di pangkalan udara Al-Udeid di barat daya Doha pada 15 Mei 2025. (Gambar fail: AFP/Brendan Smialowski)
Ini menyusuli ancaman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk campur tangan sebagai tanda sokongan kepada penunjuk perasaan di Iran.
Angka korban daripada pergolakan di Iran kini mencecah hampir 2,600, menurut sebuah kumpulan hak asasi.
Ini sedang Republik Islam itu berusaha meredakan bantahan seluruh negara yang menimbulkan salah satu cabaran utama kepada pentadbirannya sejak Revolusi Islam pada 1979.
Menurut penilaian Israel, Encik Trump memutuskan untuk campur tangan tetapi skop dan masa tindakannya masih belum jelas, kata seorang pegawai Israel.
Pegawai Iran itu yang bersetuju ditemu bual dengan syarat identitinya tidak didedahkan, berkata Tehran meminta sekutu-sekutu Amerika di rantau itu supaya "menghalang Washington daripada menyerang Iran".
"Tehran memberitahu negara-negara serantau, dari Arab Saudi dan UAE ke Turki, bahawa pangkalan Amerika di negara-negara itu akan diserang" jika Amerika Syarikat menyerang Iran, kata pegawai itu.
Pegawai itu menambah hubungan langsung antara Menteri Luar Iran Abbas Araqchi dan Utusan Khas Amerika Syarikat Steve Witkoff digantung, mencerminkan ketegangan yang semakin meruncing.
Sumber Israel kedua, iaitu seorang pegawai pemerintah, berkata kabinet keselamatan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu diberi taklimat pada lewat Selasa mengenai kemungkinan keruntuhan rejim tersebut atau campur tangan Amerika di Iran, iaitu musuh ketat di mana Israel terlibat dalam peperangan dengannya selama 12 hari pada tahun lalu.
Dalam temu bual bersama CBS News pada Selasa, Encik Trump berikrar akan mengambil "tindakan sangat tegas" jika Iran menjatuhkan hukuman mati ke atas penunjuk perasaan.
"Jika anda menggantung mereka, anda akan melihat beberapa perkara berlaku," katanya.
Beliau juga menggesa rakyat Iran pada Selasa supaya meneruskan dengan bantahan dan mengambil alih institusi, sambil mengisytiharkan "bantuan sedang dalam perjalanan" tanpa mendedahkan sebarang butiran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.