Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Iran 'berhak' pertahankan diri selepas serangan Israel

Anggaran Waktu Membaca:
TEHRAN: Iran memberi amaran pada Sabtu (26 Okt) bahawa ia akan mempertahankan diri selepas serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya dua askar dan seterusnya mencetuskan kebimbangan perang serantau berskala besar akan meletus di Timur Tengah.

Israel memberi amaran kepada Iran bahawa negara itu "akan menanggung padahnya" jika ia bertindak balas terhadap serangan Israel dan Amerika Syarikat, Jerman dan Britain menggesa Tehran supaya jangan meningkatkan lagi konflik tersebut.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden berkata beliau berharap "serangan Israel itu akan menjadi penamat" selepas Israel melancarkan serangan sebelum subuh, sambil menyatakan bahawa "serangan Israel hanya menyasarkan sasaran dan kubu tentera Iran".

Kesatuan Eropah (EU) menggesa semua pihak untuk mengawal diri sepenuhnya bagi mengelakkan "peningkatan yang tidak terkawal".

Negara-negara lain, termasuk banyak negara jiran Iran, mengutuk serangan Israel dan beberapa negara, seperti Rusia, menggesa kedua-dua pihak supaya mengelak daripada apa yang disifatkan oleh Mosko sebagai "senario malapetaka".

Iran menegaskan bahawa ia mempunyai "hak dan kewajipan" untuk mempertahankan diri, manakala sekutunya dari Lubnan, Hezbollah berkata ia sudah melancarkan roket yang menyasarkan lima kawasan kediaman di utara Israel.

Tentera Israel menyatakan sebanyak 80 peluru berpandu dilepaskan merentasi sempadannya pada Sabtu (26 Okt).

Hezbollah kemudian mengeluarkan amaran kepada para penduduk Israel yang menetap di berpuluh-puluh lokasi supaya meninggalkan kediaman masing-masing, dengan langkah tersebut serupa dengan amaran yang dikeluarkan oleh tentera Israel bagi kawasan-kawasan di Gaza dan Lubnan di mana ia merancang untuk melancarkan serangan.

Mengesahkan serangannya sendiri selepas letupan dan tembakan anti-pesawat bergema di sekitar Tehran, tentera Israel mendakwa bahawa serangan-serangannya menyasarkan kilang peluru berpandu Iran dan kemudahan tentera di beberapa wilayah.

"Serangan balas sudah selesai dan misi kami telah dipenuhi", dan pesawat Israel "pulang dengan selamat", kata seorang jurucakap tentera Israel.

Iran mengesahkan Israel telah menyasarkan kubu-kubu dan kemudahan tentera di sekitar Tehran dan bahagian-bahagian lain di negara itu, dengan serangan-serangan Israel menyebabkan "kerosakan terhad" dan membunuh empat askar Iran.

Kakitangan am angkatan tentera Iran berkata hanya sistem radar yang rosak dalam serangan itu.

"Sekalipun Iran berhak untuk bertindak balas pada masa yang sesuai, Iran mengutamakan pemeteraian gencatan senjata yang berkekalan di Gaza dan Lubnan," katanya.

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata "tiada had" pada tekad Iran untuk mempertahankan diri.
Sumber : Agensi berita/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan