Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Iran bantah pendirian Barat mengenai tunjuk perasaan kematian Mahsa Amini

Anggaran Waktu Membaca:
Iran bantah pendirian Barat mengenai tunjuk perasaan kematian Mahsa Amini

Gambar: AFP

Diterbitkan : 26 Sep 2022 09:14AM Dikemas Kini : 26 Sep 2022 09:15AM
DUBAI: Iran memanggil duta Britain dan Norway berhubung apa yang disifatkannya sebagai campur tangan dan liputan media 'negatif' mengenai pergolakan di negara itu susulan kematian Mahsa Amini ketika wanita itu berada dalam tahanan polis moral.

Menteri Luar Hossein Amirabdollahian juga membidas sokongan Amerika Syarikat terhadap "perusuh" - label yang digunakan Tehran bagi peserta bantahan antipemerintah yang melanda negara itu.

Susulan itu, Iran menyekat akses internet dan telefon serta tindakan keras pasukan keselamatan.

Bantahan tercetus di barat laut Iran sejak minggu lalu ketika pengebumian Mahsa Amini, seorang wanita Kurdi berusia 22 tahun yang meninggal dunia selepas koma susulan ditahan polis moral yang menguatkuasakan peraturan hijab pada pakaian wanita.
Pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan berlarutan di beberapa wilayah barat laut, menurut sumber di bandar Tabriz, Urmia, Rasht dan Hamedan.

Kesatuan guru di negara itu dalam satu kenyataan di media sosial pada Ahad (25 Sep)menyeru tenaga pengajar dan pelajar agar mengadakan mogok pada Isnin dan Rabu.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi, menegaskan negara itu memastikan kebebasan bersuara dan mengarahkan kes kematian Mahsa Amini disiasat secara teliti.

Namun beliau menegaskan "tindakan mencetuskan huru-hara" tidak boleh diterima. 
Menteri Luar Iran Encik Hossein berkata Amerika Syarikat (AS) menyokong "perusuh" dan berusaha untuk menjejas kestabilan Iran, pendirian yang beliau katakan bercanggah dengan gesaan AS bagi kestabilan di rantau itu dan perjanjian nuklear dengan Tehran.

Tunjuk perasaan kali ini adalah yang paling serius sejak 2019 di mana bantahan tercetus selepas pemerintah menaikkan harga gas ketika itu.

Televisyen tempatan Iran menyatakan 41 orang terbunuh sejak bantahan berlaku susulan kematian Mahsa Amini pada 16 September.

Agensi berita separuh rasmi, Mehr, melaporkan lapan anggota Basij iaitu tentera di bawah Revolutionary Guards antara yang terkorban.

Media pemerintah juga menyatakan 12 cawangan bank musnah dan 219 ATM rosak sejak bantahan bermula.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan