Skip to main content

Dunia

Iran ancam serang pangkalan tentera Amerika di Timur Tengah jika ia diserang

Anggaran Waktu Membaca:
Iran ancam serang pangkalan tentera Amerika di Timur Tengah jika ia diserang
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi menghadiri sidang akhbar di Istanbul, Turki pada 30 Jan 2026. (Gambar fail: Reuters/Dilara Senkaya)
 
Diterbitkan : 07 Feb 2026 11:06PM Dikemas Kini : 07 Feb 2026 11:07PM

KAHERAH: Iran akan menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah jika ia diserang oleh tentera Amerika Syarikat yang berkumpul di rantau itu, kata menteri luarnya pada Sabtu (7 Feb), sambil menegaskan ia tidak seharusnya dilihat sebagai serangan ke atas negara-negara yang menempatkan pangkalan tentera Amerika.

Menteri Luar Abbas Araqchi ditemu bual oleh saluran TV Al Jazeera Qatar sehari selepas Tehran dan Washington berikrar untuk meneruskan rundingan nuklear tidak langsung susulan apa yang disifatkan oleh kedua-dua pihak sebagai perbincangan positif pada Jumaat (6 Feb) di Oman.

Walaupun Encik Araqchi berkata tiada sebarang tarikh ditetapkan bagi pusingan rundingan seterusnya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata ia mungkin berlangsung pada awal minggu depan.

"Kami dan Washington percaya ia perlu diadakan tidak lama lagi," kata Encik Araqchi.

Presiden Trump mengancam untuk menyerang Iran selepas mengerahkan tentera laut Amerika ke rantau itu, sambil menuntut agar ia melucutkan pengayaan uranium, yang dikatakan bagi tujuan menghasilkan bom nuklear, serta menghentikan pembangunan peluru berpandu balistik dan sokongan untuk kumpulan bersenjata di sekitar rantau itu.

Tehran sekian lama menafikan sebarang niat untuk menggunakan senjata bagi pengeluaran bahan api nuklear.

Walaupun kedua-dua pihak menunjukkan kesediaan untuk memulakan semula diplomasi berhubung pertikaian nuklear Tehran yang berlarutan dengan Barat, Encik Araqchi enggan mengadakan rundingan lanjut.

"Sebarang dialog memerlukan sikap kawal diri daripada ancaman dan tekanan. (Tehran) hanya membincangkan isu nuklearnya ... Kami tidak membincangkan sebarang isu lain dengan Amerika Syarikat," katanya.

Pada Jun lalu, Amerika Syarikat mengebom kemudahan nuklear Iran, menyertai peringkat akhir kempen pengeboman Israel selama 12 hari. 

Tehran sejak itu menyatakan ia sudah menghentikan kegiatan pengayaan uranium.

Tindak balasnya pada masa itu termasuk serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera Amerika di Qatar, yang mengekalkan hubungan baik dengan Tehran dan Washington.

Sekiranya berlaku serangan baharu oleh Amerika Syarikat, Encik Araqchi berkata kesannya mungkin serupa.

"Tidak mungkin untuk menyerang tanah Amerika, tetapi kami akan menyasarkan pangkalan mereka di rantau ini," katanya.

"Kami tidak akan menyerang negara jiran; sebaliknya, kami akan menyasarkan pangkalan tentera Amerika yang ditempatkan di sana. Ada perbezaan yang besar antara kedua-duanya.”

Menurut Iran, ia mahukan pengiktirafan haknya untuk memperkayakan uranium, dan meletakkan program peluru berpandunya di meja rundingan akan menyebabkannya terdedah kepada serangan Israel.
 

Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita