Iran ancam akan sekat koridor di Armenia yang ditaja Amerika Syarikat
Iran mengancam untuk menyekat pembentukan sebuah koridor yang ditaja Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada perjanjian damai antara Azerbaijan dengan Armenia.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan Azerbaijan, Ilham Aliyev (kiri) dan PM Armenia Niko Pashinyan di Rumah Putih untuk meterai perjanjian damai pada 8 Ogos 2025. (Gambar: Reuters/Kevin Lamarque)
This audio is generated by an AI tool.
Tehran mengalu-alukan perjanjian damai itu tetapi membantah kehadiran sebarang pihak asing berhampiran sempadannya.
Ia juga menentang sebarang perubahan geopolitik di rantau itu.
Koridor tersebut melibatkan sebuah laluan menghubungkan Azerbaijan dengan wilayah Nakhchivan yang terpisah daripada tanah besar Azerbaijan.
Kawasan seluas 32 kilometer itu merentasi wilayah Armenia.
Laluan itu, yang juga dikenali sebagai laluan Zangezur, akan dilengkapi landasan kereta api, paip minyak dan gas, serta talian gentian optik.
Washington akan diberi hak eksklusif membangunkan koridor tersebut yang terletak berhampiran sempadan Iran.
Menurut Rumah Putih, laluan itu akan memudahkan eksport bahan api dan sumber-sumber lain.
Tidak jelas bagaimana Iran mahu menyekat koridor itu tetapi menurut kenyataan Ali Akbar Velayati, iaitu penasihat utama pemimpin agung Iran, negaranya mempersoalkan keselamatan koridor berkenaan.
Beliau menambah, latihan ketenteraan yang diadakan di barat laut Iran menunjukkan negaranya sudah bersiap sedia dan berazam untuk mencegah sebarang perubahan geopolitik.
Pada Jumaat (8 Ogos), Encik Trump menyambut Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev and Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan di Rumah Putih dan menyaksikan mereka menandatangani satu perisytiharan bersama bagi menamatkan pertikaian mereka yang sudah berlarutan selama beberapa dekad.
Rusia, yang menjadi pengantara dan sekutu tradisional Armenia, tidak disertakan dalam acara itu, walaupun pengawal sempadannya ditempatkan di sempadan antara Armenia dan Iran.
Meskipun Mosko menyokong pertemuan itu, ia mencadangkan "pelaksanaan huraian yang dihasilkan sendiri oleh negara-negara rantau itu dengan sokongan jiran terdekat mereka – Rusia, Iran dan Turki".
Ini supaya mereka dapat mengelakkan apa yang disebutnya sebagai "pengalaman mengecewakan" berkaitan peranan yang dimainkan negara-negara Barat sebagai pengantara di Timur Tengah.
Sekutu rapat Azerbaijan, Turki yang merupakan anggota perikatan NATO, menyambut baik perjanjian tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.