Skip to main content

Dunia

Iran 'amat berwaspada' terhadap kejayaan rundingan nuklear dengan Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
Iran 'amat berwaspada' terhadap kejayaan rundingan nuklear dengan Amerika

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi tiba di Muscat untuk rundingan dengan Amerika, di Oman pada 25 Apr 2025. (Gambar: REUTERS)

MUSCAT: Iran dan Amerika Syarikat bersetuju untuk teruskan rundingan nuklear minggu depan, menurut kedua-dua pihak pada Sabtu (26 Apr).

Ini meskipun Menteri Luar Iran Abbas Araqchi menyuarakan sikap "amat berwaspada" terhadap kejayaan rundingan untuk menamatkan kebuntuan yang telah berlarutan selama beberapa dekad.

Presiden Amerika Donald Trump meluahkan keyakinan untuk membuat perjanjian baharu dengan Republik Islam, yang akan menghalang Tehran daripada menghasilkan bom nuklear.

Encik Abbas Araqchi dan utusan Timur Tengah Presiden Trump Steve Witkoff mengadakan pusingan ketiga rundingan di Muscat melalui pengantara Oman selama kira-kira enam jam, seminggu selepas pusingan kedua di Rome yang disifatkan oleh kedua-dua pihak sebagai membina.

Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk bertemu sekali lagi di Eropah "tidak lama lagi".

"Masih banyak yang perlu dilakukan, tetapi kemajuan selanjutnya telah dibuat untuk mencapai perjanjian," tambah pegawai itu.

Awal dari itu, Menteri Luar Oman Badr Albusaidi berkata rundingan akan diteruskan minggu depan, dengan satu lagi "pertemuan peringkat tinggi" dijadualkan pada 3 Mei buat masa ini.

Encik Abbas Araqchi berkata Oman akan mengumumkan lokasi rundingan tersebut.

Menjelang mesyuarat dengan para perunding utama, perbincangan tidak rasmi peringkat pakar telah diadakan di Muscat untuk mereka bentuk rangka kerja bagi perjanjian nuklear yang mungkin dimeterai.

"Kehadiran pakar sangat bermanfaat... kami akan kembali ke ibu negara kami untuk semakan lanjut bagi melihat bagaimana perselisihan faham dapat dikurangkan," kata Encik Abbas Araqchi.

Seorang pegawai Iran yang memberi taklimat mengenai rundingan itu memberitahu Reuters sebelum ini bahawa rundingan peringkat pakar adalah "sukar, rumit dan serius".

Satu-satunya tujuan rundingan ini, kata Encik Abbas Araqchi, adalah "untuk membina keyakinan tentang sifat aman program nuklear Iran sebagai ganti untuk melonggarkan sekatan".

Presiden Trump, dalam satu temu bual bersama majalah Time yang diterbitkan pada Jumaat (Apr 24), berkata: "Saya rasa kita akan capai perjanjian dengan Iran". Namun, beliau juga membangkitkan semula ancaman tindakan ketenteraan terhadap Iran jika diplomasi gagal.

Sejurus selepas Encik Abbas Araqchi dan Encik Witkoff memulakan perbincangan tidak langsung terbaharu mereka pada Sabtu, media negara Iran melaporkan letupan besar di pelabuhan Shahid Rajaee, berhampiran kota di bahagian selatan Bandar Abbas, membunuh sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan ratusan yang lain.

TEKANAN MAKSIMUM

Meskipun kedua-dua pihak, Tehran dan Washington, telah menyatakan bahawa mereka bersedia untuk teruskan diplomasi, mereka masih lagi belum dapat bersetuju tentang pertikaian yang telah bergelora selama lebih dua dekad.

Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio berkata minggu ini Iran perlu menghentikan sepenuhnya kegiatan memperkaya uranium di bawah perjanjian berkenaan, dan hanya mengimport sebarang uranium diperkaya yang diperlukan untuk menjana satu-satunya loji kuasa atom yang berfungsi, Bushehr.

Tehran bersedia untuk merundingkan beberapa sekatan kerja nuklearnya sebagai balasan untuk menarik balik sekatan, menurut pegawai Iran, namun tindakan menamatkan program pengayaannya atau menyerahkan simpanan uraniumnya yang diperkaya adalah antara "garis merah Iran yang tidak boleh dikompromi" dalam rundingan itu.

Seorang pegawai Iran yang mempunyai pengetahuan tentang rundingan itu berkata pada Jumaat bahawa Tehran melihat program peluru berpandunya sebagai hambatan yang lebih besar dalam rundingan tersebut.
Sumber : Reuters/FS/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita