Skip to main content

Dunia

Iran akan guna peluru berpandu baharu jika Israel serang sekali lagi

Iran menyatakan pada Rabu (20 Ogos) ia bersedia menghadapi sebarang serangan Israel yang baharu, sambil mengumumkan ia sudah menghasilkan peluru berpandu dengan keupayaan lebih besar berbanding senjata yang digunakan sepanjang perang selama 12 hari baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Iran akan guna peluru berpandu baharu jika Israel serang sekali lagi

Sistem pertahanan peluru berpandu mudah alih Bavar-373 buatan tempatan dipamerkan sempena Hari Industri Pertahanan Negara di Tehran, Iran, pada 22 Ogos 2019. (Gambar: Tasnim News Agency/edaran melalui REUTERS)

TEHRAN: Iran menyatakan pada Rabu (20 Ogos) ia bersedia menghadapi sebarang serangan Israel yang baharu, sambil mengumumkan ia sudah menghasilkan peluru berpandu dengan keupayaan lebih besar berbanding senjata yang digunakan sepanjang perang selama 12 hari baru-baru ini.

"Peluru berpandu yang digunakan dalam perang 12 hari itu dibangunkan ... beberapa tahun lalu," kata Menteri Pertahanan Iran Aziz Nassirzadeh, seperti dinukil agensi berita rasmi IRNA.

"Hari ini, kami menghasilkan dan memiliki peluru berpandu dengan keupayaan jauh lebih baik berbanding peluru berpandu sebelum ini, dan jika tentera Israel cuba melancarkan serangan kali lagi, kami tentu sekali akan menggunakan senjata ini."

Pada pertengahan Jun lalu, Israel melancarkan serangan bom bertubi-tubi terhadap Iran, mencetuskan peperangan di mana Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu.

Serangan Israel itu mengorbankan beberapa komander tentera kanan Iran, ahli saintis nuklear dan beratus-ratus lagi orang, setelah ia menyasarkan kedua-dua kubu tentera dan kawasan perumahan.

Amerika Syarikat menyertai perang itu buat seketika dengan melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran.

Gencatan senjata antara Iran dengan Israel berkuat kuasa sejak 24 Jun lalu.

Namun pihak berkuasa Iran memberi amaran pertempuran boleh berlaku sekali lagi pada bila-bila masa, sambil menekankan Tehran tidak mahu berperang tetapi ia bersedia berdepan sebarang konfrontasi.

Pada Isnin, Naib Presiden Pertama Iran Mohammad Reza Aref berkata Iran perlu "bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menghadapi sebarang konfrontasi".

"Kami tidak berada dalam perjanjian gencatan senjata; kami sebaliknya berada dalam tempoh berhentinya pertempuran," katanya.

Media Iran melaporkan bahawa tentera negara itu akan mula melakukan latihan tentera selama dua hari pada Khamis, di mana ia menampilkan pelbagai jenis peluru berpandu jelajah jarak pendek dan sederhana.

Pemerintah negara-negara Barat sebelum ini berkali-kali menyuarakan keprihatinan mengenai program peluru berpandu Iran, sambil menyifatkannya sebagai ancaman kepada keselamatan serantau.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita