Skip to main content

Dunia

Iran akan bertindak balas pada 'tahap maksimum' jika Israel bertindak menentang kepentingannya

Anggaran Waktu Membaca:
WASHINGTON: Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian pada Jumaat (19 Apr) berkata bahawa Iran akan bertindak balas pada "tahap maksimum", jika Israel
bertindak bertentangan dengan kepentinganya.

"Jika Israel ingin mengambil risiko dan bertindak menentang kepentingan Iran, tindakan kami seterusnya akan dilaksanakan dengan segera pada tahap maksimum," kata Encik Amirabdollahian semasa wawancara bersama NBC News.

Beliau membuat kenyataan tersebut berikutan serangan Israel ke atas Iran pada awal Jumaat.
Encik Amirabdollahian menambah bahawa dron yang dilancarkan Israel ke atas bandar Isfahan tidak menyebabkan kerosakan atau kehilangan nyawa.

Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 19 April, kata sumber, dalam tindakan balas terbaru antara dua musuh ketat itu dan sekali gus mengancam untuk mengheret wilayah itu ke dalam konflik.

Demikian dilaporkan media ABC News yang menukil seorang pegawai Amerika Syarikat pada lewat Khamis (18 Apr).

Letupan kedengaran di lapangan terbang di bandar Isfahan, tetapi puncanya tidak segera diketahui.

Beberapa penerbangan ke Iran juga terpaksa dilencongkan.

Pada Jumaat (19 Apr), media dan pegawai Iran melaporkan beberapa letupan yang menurutnya disebabkan sistem pertahanan udara menjadi aktif dan memusnahkan tiga dron di ruang udara Isfahan. 

Sejumlah dron "berjaya ditembak jatuh sistem pertahanan udara negara, tiada laporan serangan peluru berpandu buat masa ini", tulis jurucakap agensi udara Iran, Hossein Dalirian, di X.

Hujung minggu lalu, Iran melancarkan beratus-ratus dron dan peluru berpandu dalam serangan balas selepas mengesyaki Israel menyerang pekarangan kedutaan Iran di Syria.

Kebanyakan dron dan peluru berpandu bagaimanapun dipintas sebelum sampai ke wilayah Israel.

Iran memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Israel harus dipaksa untuk menghentikan sebarang langkah ketenteraan selanjutnya.

Komen Iran itu dibuat sedang Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberi amaran bahawa Timur Tengah berada dalam bahaya maksimum.

Israel sebelum ini menyatakan pihaknya akan bertindak balas terhadap serangan Iran pada 13 April lalu.
Sumber : AGENCIES/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita