Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Iran akan bertindak balas pada 'masa, cara sesuai' atas pembunuhan Haniyeh

Anggaran Waktu Membaca:
JEDDAH: Pemangku Menteri Luar Iran berkata, negara itu akan bertindak balas terhadap pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pada "masa yang sesuai" dengan cara yang "sesuai" sehari selepas diplomasi sengit di Timur Tengah.

Kenyataan itu dikeluarkan Baqeri Ali Bagheri Kani semasa mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai sekumpulan negara dengan penduduk majoriti Islam yang bersidang di Arab Saudi untuk membincangkan tindak balas Iran terhadap pembunuhan itu.

Amerika Syarikat dalam masa sama berharap para anggota OIC akan memberi amaran kepada Iran agar mengelak daripada mengambil "langkah untuk meningkatkan konflik."

Ketegangan di Timur Tengah meningkat sejak pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran minggu lalu.

Iran dan sekutu-sekutunya menyalahkan Israel, walaupun Israel tidak memberi sebarang maklum balas mengenai kematian Ketua Biro Politik Hamas itu.

OIC bersidang di Jeddah, Arab Saudi pada Rabu atas permintaan Iran dan Palestin.

Menurut Encik Baqeri Ali, negara-negara anggota OIC lain "dijangka" bahawa mereka akan menyokong tindak balas Iran terhadap pembunuhan itu.

“Tindakan Iran bukan sahaja mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negaranya sendiri tetapi juga mempertahankan kestabilan dan keselamatan seluruh rantau ini,” kata Encik Baqeri Ali.

Menyusuli mesyuarat tergempar itu, OIC mengeluarkan kenyataan dengan menegaskan, Israel "bertanggungjawab sepenuhnya" atas "serangan kejam yang disifatkan sebagai "pelanggaran serius" kedaulatan Iran.

OIC, bagaimanapun, tidak menyokong sebarang tindakan ketenteraan Iran.

Pada April lalu, Iran melancarkan lebih 300 peluru berpandu dan dron ke arah Israel - hampir kesemuanya ditembak jatuh - sebagai membalas serangan terhadap kawasan diplomatiknya di Syria.

Ramai bimbang tindak balas Iran kali ini mungkin akan mengambil pendekatan yang sama.

Pengerusi OIC, Mamadou Tangara yang juga Menteri Luar Gambia berkata, pembunuhan Ismail Haniyeh berpotensi mencetuskan "konflik yang lebih luas yang boleh melibatkan seluruh rantau."

Pembunuhan pemimpin Hamas itu, jelas beliau, "tidak akan memadamkan perjuangan Palestin malah ia menguatkannya.”

Arab Saudi pula mengulas mengenai pembunuhan itu buat kali pertama pada Rabu melalui kenyataan Timbalan Menteri Luarnya, Waleed Al-Khuraiji yang menyifatkan "pelanggaran terang-terangan" terhadap kedaulatan Iran.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Matthew Miller berharap "semua pihak yang mempunyai hubungan dengan Iran memberi tekanan kepada Iran - dengan cara yang sama yang kami tekankan kepada pemerintah Israel - bahawa mereka tidak seharusnya mengambil sebarang langkah untuk meningkatkan konflik,” kata Encik Miller.

Encik Miller berkata, Amerika telah berhubung dengan beberapa anggota OIC dan percaya terdapat "konsensus luas" bahawa "peningkatan hanya akan memburukkan lagi masalah yang dihadapi rantau itu".

Usaha diplomatik telah dijalankan sejak awal minggu ini, dengan Presiden Joe Biden berhubung melalui telefon dengan pemimpin Jordan, Qatar dan Mesir pada Selasa.

"Tiada siapa yang harus meningkatkan konflik ini. Kami sudah terlibat dalam diplomasi sengit dengan sekutu dan rakan kongsi, menyampaikan mesej itu terus kepada Iran. Kami menyampaikan mesej itu terus kepada Israel," kata Setiausaha Negara Amerika Anthony Blinken pada Selasa.

Dalam panggilan telefon pada Rabu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberitahu Presiden Iran Masoud Pezeshkian bahawa peningkatan ketengangan Iran "akan menjejaskan kestabilan serantau secara berpanjangan."

Encik Pezeshkian memberitahu Encik Macron bahawa jika Barat mahu menghalang perang, ia "harus segera berhenti menjual senjata dan menyokong" Israel, tegas pejabatnya.
Sumber : Agensi berita/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan