Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ipoh disenarai antara destinasi paling kurang dapat perhatian di Asia

Anggaran Waktu Membaca:
Ipoh disenarai antara destinasi paling kurang dapat perhatian di Asia

(Gambar: Majlis Bandaraya Ipoh/Facebook)

CNN: Asia bukan sekadar menawarkan tarikan seni bina Angkor Wat dan Taj Mahal yang mengagumkan atau kota metropolitan Tokyo dan Hong Kong mahupun pantai Bali dan Phuket.

Bagi pelancong yang berpeluang untuk mengenali benua ini dengan lebih lama, meluas dan terperinci, terdapat banyak lagi khazanah bernilai yang menunggu untuk ditemui.

Salah satunya ialah bandar Ipoh di Perak, Malaysia, yang merupakan destinasi pertama dalam senarai 18 Tempat di Asia yang Paling Kurang Mendapat Perhatian ("18 of Asia's Most Underrated Places" oleh portal CNN Travel.

Senarai itu sekali gus memberi pendedahan dan penghormatan kepada setiap destinasi yang disifatkan memiliki nilai pelancongan yang bagus, namun masih kurang mendapat perhatian yang sewajarnya.

Dalam penerangannya, Ipoh digambarkan sebagai sebuah bandar yang kaya dengan keindahan bukit batu kapur dan gua yang menempatkan kuil unik serta menakjubkan.

Turut mendapat perhatian menerusi deskripsinya adalah tradisi kopi putih Ipoh yang menjadi tarikan.

"Apabila bercakap tentang bandar makanan Malaysia yang hebat, kebanyakan orang memikirkan Pulau Pinang. Tetapi itu hanya kerana mereka tidak pernah ke Ipoh.

"Ibu kota negeri Perak, lokasi Ipoh di antara Kuala Lumpur dengan George Town menjadikannya tempat persinggahan yang ideal untuk sebarang perjalanan darat di Malaysia.

"Ia juga merupakan pintu masuk ke Cameron Highlands, sebuah daerah yang terkenal dengan cuaca sejuk dan ladang teh," menurut portal CNN Travel. 

Antara keistimewaan bandar Ipoh yang disenaraikan adalah kuil yang kaya dengan ukiran batu dikelilingi oleh stalaktit dan stalagmit. Ini di samping seni bina warisan era penjajahan Ipoh seperti di stesen kereta api dan Menara Jam Birch, dewan bandar raya serta pejabat pos lama.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan