Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Interpol keluarkan notis merah terhadap pengasas Terra

Anggaran Waktu Membaca:
Interpol keluarkan notis merah terhadap pengasas Terra

Gambar fail: Bangunan Interpol di Lyon, Perancis. (FRED DUFOUR /AFP)

SEOUL: Interpol mengeluarkan notis merah terhadap pengasas mata wang kripto warga Korea Selatan yang dituduh melakukan penipuan sehingga menyebabkan kerugian AS$40 bilion (S$57 bilion) pada syarikatnya, menurut pihak pendakwa pada Isnin (26 Sep).

Pada awal bulan September, sebuah mahkamah di Korea Selatan mengeluarkan waran tangkap terhadap Do Kwon, 31 tahun, yang terbang dari Korea Selatan ke Singapura sebelum syarikat tersebut mengalami kerugian itu pada Mei lalu.

Keberadaannya menjadi tanda tanya selepas Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan bahawa dia tidak berada di negara ini.

Pihak pendakwa meminta Interpol meletakkannya dalam senarai notis merah dan ia turut meminta Kementerian Luar Korea Selatan untuk membatalkan pasportnya dengan mengatakan bahawa Kwon sudah melarikan diri.

"Interpol sudah mengeluarkan notis merah terhadap Kwon", menurut pegawai dari Pejabat Pendakwa Daerah Selatan Seoul kepada AFP tanpa mengulas lanjut.

Dalam catatan Twitter, Kwon menafikan dia sudah melarikan diri. Dia bagaimanapun tidak pula mendedahkan keberadaannya.

Para pendakwa juga mengeluarkan waran tangkap terhadap lima individu - yang identiti mereka belum didedahkan - yang turut terkait dengan mata wang kripto TerraUSD dan token Luna.

TerraUSD dan Luna milik Kwon gulung tikar pada Mei apabila harga kedua-dua mata wang tersebut menjunam ke paras hampir sifar, dengan kesannya menjejas teruk pasaran mata wang kripto.

Kegagalan syarikat itu menimpakan kerugian sebanyak AS$500 bilion (S$720 bilion) pada pasaran mata wang kripto global, menurut data industri tersebut.

Ramai pelabur kehilangan simpanan seumur hidup apabila nilai Luna dan Terra menjunam dan pihak berkuasa Korea Selatan sudah melancarkan siasatan terhadap kes tersebut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan