Skip to main content

Dunia

Insiden anti-Muslim meningkat di Australia susuli serangan Bondi

Anggaran Waktu Membaca:
Insiden anti-Muslim meningkat di Australia susuli serangan Bondi
Seorang pengawal keselamatan berdiri di luar Masjid Lakemba Imam Ali bin Abi Talib di Sydney semasa orang ramai tiba untuk solat Jumaat pada 19 Disember 2025. (Gambar: Reuters/Hollie Adams)
Diterbitkan : 07 Jan 2026 08:03AM Dikemas Kini : 07 Jan 2026 08:18AM
JAKARTA: Serangan tembakan di Pantai Bondi di Sydney, di mana dua lelaki bersenjata diilhamkan oleh kumpulan ISIS menyasarkan satu sambutan perayaan Yahudi, menyebabkan beberapa penduduk Indonesia beragama Islam di Australia berasa bimbang untuk keluar rumah di tengah-tengah peningkatan dalam laporan insiden Islamofobia.

Bagi Neti (bukan nama sebenar), seorang mahasiswa di Universiti New South Wales di Sydney, beliau dirundung rasa cemas sejak berlaku serangan tembakan pada 14 Disember itu.

Kampus sekolah utamanya di Kensington terletak kira-kira 8 kilometer atau masa memandu selama 10 hingga 20 minit dari Pantai Bondi, di mana pasangan bapa dan anak, Sajid dan Naveed Akram dilaporkan membunuh 15 orang dalam satu serangan yang menyasarkan acara Hanukkah.

Sajid, seorang rakyat India, ditembak mati oleh polis semasa serangan itu.

Naveed, seorang warga kelahiran Australia pula didakwa atas 59 kesalahan termasuk 15 tuduhan membunuh dan satu tuduhan melakukan perbuatan pengganas.

Neti, 46 tahun, yang memakai hijab, berkata beliau pada awalnya berasa takut untuk keluar rumah, khususnya ketika menghantar tiga orang anak perempuannya ke sekolah.

"Saya takut untuk keluar... Terutamanya kerana kami semua memakai hijab dan menaiki pengangkutan awam, kami mudah dikenal pasti," katanya kepada CNA Indonesia pada 16 Dis.

"Saya bahkan terfikir untuk tidak ke sekolah dan membatalkan temu janji klinik di kampus. Tetapi akhirnya, saya tetap pergi," katanya.

Sementara itu di Perth, Hani Noor Ilahi, seorang mahasiswa berusia 36 tahun di Universiti of Western Australia, berkata walaupun sekitaran di kampus berbilang budayanya tidak berubah, lain yang berlaku di sekitaran luarannya.

Di kawasan bandar, terutama sekali semasa solat Jumaat, masjid-masjid kini dikawal oleh polis, katanya.

Kehadiran polis itu menyusuli kejadian di mana masjid-masjid menjadi sasaran vandalisme selepas serangan tembakan Pantai Bondi.

LAPORAN ISLAMOFOBIA MENINGKAT

Kebimbangan mereka bukan tidak berasas.

Laporan islamofobia di Australia meningkat menyusuli insiden serangan pada 14 Disember.

Islamophobia Register Australia, sebuah pertubuhan komuniti yang memantau dan melaporkan kejadian sebegitu di negara itu, menerima 126 laporan insiden kebencian dalam seminggu selepas penembakan itu.

Ini adalah peningkatan 10 kali ganda berbanding dua minggu sebelumnya.

Secara berasingan, Majlis Imam Kebangsaan Australia juga melaporkan peningkatan.

Pada 29 Dis, majlis itu dalam satu kenyataan meyatakan sembilan masjid dan pusat pengajian Islam di Australia melaporkan perbuatan vandalisme atau insiden keselamatan serius yang memerlukan penglibatan polis.

Ini termasuk grafiti kebencian di Sekolah Islam Melbourne, kepingan daging babi yang dibuang ke tanah perkuburan Islam di Narellan, New South Wales, serta insiden di mana wanita Islam diludah, didera dan diancam secara lisan di Perth, Australia Barat.

Maklumat palsu tentang Islam dan umat Islam juga telah melonjak di media sosial, menurut Pemeriksaan Fakta Australian Associated Press (AAP).
 
Sumber : CNA/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita