Skip to main content

Dunia

Inkues Nora Anne: 29 premis diperiksa sejauh ini

Mahkamah Koroner di hari ini (4 Sep) diberitahu bahawa sebanyak 29 premis termasuk resort persendirian sudah diperiksa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan bagi mencari petunjuk keberadaan remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin.

Anggaran Waktu Membaca:
Inkues Nora Anne: 29 premis diperiksa sejauh ini

Nora Anne Quoirin. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 04 Sep 2020 02:48PM Dikemas Kini : 04 Sep 2020 02:52PM

SEREMBAN: Mahkamah Koroner di hari ini (4 Sep) diberitahu bahawa sebanyak 29 premis termasuk resort persendirian sudah diperiksa Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Sembilan bagi mencari petunjuk keberadaan remaja perempuan warga Ireland-Perancis Nora Anne Quoirin, yang hilang pada 4 Ogos 2019.

Saksi ke-14 prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian gadis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Mohd Azam Ismail memberitahu, ia membabitkan tujuh villa yang terdapat di resort The Shorea, yang terletak berdekatan dengan The Dusun Resort, lokasi penginapan remaja itu bersama keluarganya sebaik tiba di Malaysia pada 3 Ogos 2019.

"Selain itu, turut diperiksa ialah lima villa persendirian dengan empat berpenghuni manakala satu tidak berpenghuni; sembilan premis dan resort persendirian dengan lima berpenghuni dan empat tidak berpenghuni.

"Kita juga memeriksa dengan teliti di The Dusun Resort membabitkan lapan villa termasuk kediaman pemilik resort," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Maimoonah Aid pada prosiding inkues yang memasuki hari kelapan hari ini.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad yang juga pegawai pengendali inkues mengenai arahan lain yang diterima olehnya, saksi yang ketika kejadian memegang jawatan sebagai Pegawai Turus Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, berkata selain itu, beliau dan pasukan turut diarahkan untuk menemu bual pegawai Jabatan Perhutanan di kaki Gunung Berembun, sekiranya terdapat petunjuk keberadaan remaja perempuan itu.

"Tapi, dimaklumkan bahawa orang hilang tidak memasuki kawasan berkenaan," kata Encik Mohd Azam.

Selain itu, mahkamah turut dimaklumkan bahawa pihaknya turut ditugaskan untuk menyiasat latar belakang ahli keluarga Nora Anne serta membuat pemprofilan semua saksi terlibat termasuk penghuni yang pernah menyewa di resort berkenaan sebelum kejadian, bagi membantu siasatan.

"Profiling ini membabitkan keluarga pengadu (Pengurus The Dusun Resort, Haanim Ahmed Bamadhaj), pekerja dan bekas pekerja The Dusun, orang tempatan yang berada di sekitar resort pada hari kejadian dan penghuni yang pernah menginap di The Dusun.

Katanya lagi, pemprofilan itu bagi mendapatkan petunjuk baru untuk meneruskan siasatan dengan berdasarkan perincian maklumat individu seperti rekod jenayah, rekod kenderaan dan latar belakang mereka.

Menjawab soalan Koroner Maimoonah apakah hasil daripada risikan dan siasatan terhadap ibu bapa Nora Anne, Encik Mohd Azam berkata: "Saya dapati mereka tidak pernah terbabit dengan rekod jenayah sama ada di dalam atau luar negara."

Prosiding inkues berlangsung selama dua minggu bermula 24 Ogos lalu hingga 27 Ogos dan bersambung semula pada 1 hingga 4 Sep.

Seramai 64 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dan setakat dua minggu lalu seramai 14 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

Nora Anne, 15 tahun, hilang pada 4 Ogos tahun lalu, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan Pantai, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.

Pada 13 Ogos 2019, mayat Nora Anne ditemui berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya selepas pencarian besar-besaran dijalankan oleh pihak berkuasa.

Laporan awal bedah siasat mendedahkan kematian remaja berkenaan yang juga golongan istimewa, tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh yang lama dan tekanan berpanjangan.

Prosiding inkues ditangguh dan akan disambung pada 14 Sep.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita