Inkues kematian Nora Anne: Tiada kesan dadah, racun perosak - Ahli kimia
Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini (2 Sep) bahawa analisis dadah yang dijalankan terhadap tiga spesimen diperoleh daripada mayat remaja Perancis-Ireland Nora Anne Quoirin termasuk spesimen hatinya pada 19 Ogos tahun lepas, tidak menemukan sebarang dadah biasa.

Nora Anne Quoirin. (Gambar: Bernama)
SEREMBAN: Seorang ahli kimia memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini (2 Sep) bahawa analisis dadah yang dijalankan terhadap tiga spesimen diperoleh daripada mayat remaja Perancis-Ireland Nora Anne Quoirin termasuk spesimen hatinya pada 19 Ogos tahun lepas, tidak menemukan sebarang dadah biasa.
Cik Suhana Ismail, 52, bertugas di Bahagian Toksikologi, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia, yang turut menjalankan analisis pestisid organofosfat dan pestisid organoklorin terhadap ketiga-tiga spesimen berkenaan pada tarikh sama, juga tidak menemukan sebarang kehadiran racun makhluk perosak.
"Selain menjalankan analisis terhadap spesimen hati yang berlabel 'Nora Anne Quoirin', saya menjalankan analisis terhadap dua lagi spesimen berlabel 'Nora Anne Quoirin' iaitu peritonel fluid iaitu cecair yang diperoleh di dalam perut dan spesimen psoas muscle yang terdapat di bahagian pinggul atau punggung.
"Pestisid prganofosfat dan pestisid organoklorin pula merupakan sejenis racun makhluk perosak yang biasa digunakan dalam industri pertanian," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur'Atiqah Sapari yang bertindak selaku pegawai pengendali dalam prosiding inkues bagi mencari punca kematian Nora Anne.
Saksi ketujuh itu yang berkhidmat di bahagian toksikologi sejak 15 Mei 2015 berkata ketiga-tiga spesimen bermeterai 'beg spesimen Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Tuanku Jaafar Seremban' diperoleh daripada pegawai penyiasat Inspektor Encik Mohd Nor Nikman Ahammed bagi membolehkan pihaknya menjalankan dua analisis untuk mengesan kehadiran dadah dan racun makhluk perosak.
Kepada soalan Koroner Maimoonah Aid mengapa beliau hanya menjalankan analisis berkenaan dadah dan racun makhluk perosak, Cik Suhana berkata ini kerana bahagian toksikologi hanya menjalankan analisis berhubung dua perkara itu.
Seorang lagi saksi ahli kimia, Encik Saiful Fazamil Mohd Ali, 45, memberitahu prosiding inkues bahawa analisis yang dijalankan terhadap dua sampel pasir yang diambil dari bawah mayat Nora Anne dan yang diambil dari kawasan berhampiran mayat, mendapati kedua-dua sampel pasir tersebut berkemungkinan berasal dari sumber yang sama.
"Saya membuat analisis dengan melihat ciri-ciri fizikal pada pasir dengan membandingkan kedua-dua sampel pasir tersebut. Saya berpendapat pasir-pasir tersebut berkemungkinan berasal dari sumber yang sama kerana kedua-dua sampel itu mempunyai taburan ketumpatan yang serupa antara satu sama lain," katanya.
Ditanya Koroner Maimoonah mengapa beliau menyatakan 'berkemungkinan', saksi kelapan itu menjelaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai data mengenai ketumpatan tanah di seluruh Malaysia dan analisis hanya dijalankan berdasarkan dua sampel pasir itu yang diterima daripada pihak polis pada 16 Ogos 2019.
Nora Anne, 15, hilang pada 4 Ogos 2019, sehari selepas dia dan keluarga tiba di Malaysia untuk bercuti selama dua minggu di sebuah pusat peranginan di Pantai di sini, kira-kira 60 kilometer di selatan ibu negara.
Mayat Nora Anne ditemukan sembilan hari kemudian pada 13 Ogos, berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapannya susulan pencarian besar-besaran yang dilakukan pihak berkuasa.
Laporan awal bedah siasat menyatakan kematian remaja istimewa itu tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.
Prosiding inkues bersambung petang ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.