Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Inisiatif lelaki di Bali ini tukar beras dengan plastik tangani pencemaran sambil bantu penduduk susah

Made Janur Yasa tawarkan beras percuma bagi setiap kilogram plastik dan bahan kitar semula yang dikumpulkan penduduk Bali. Selain bantu alam sekitar, inisiatifnya turut bantu penduduk susah dan petani tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Inisiatif lelaki di Bali ini tukar beras dengan plastik tangani pencemaran sambil bantu penduduk susah

Made Janur Yasa, pengasas program Plastic Exchange galak kitar semula di Bali, Indonesia (Gambar: Brittany Bullard)

JAKARTA: Ketika warga Indonesia Made Janur Yasa menggalak penduduk di kampungnya di Tabanan, Bali, mengumpul sisa plastik tahun lalu, mereka menyerahkan 500 kilogram straw, beg plastik, botol plastik dan pelbagai lagi barangan dalam tempoh lima hari.

Sebagai balasan, dia menghadiahkan mereka dengan 500 kilogram beras.

Yasa adalah pengasas Plastic Exchange, sebuah pergerakan yang memperkasakan masyarakat di Bali untuk mengumpul plastik yang ditukar dengan beras percuma.

Bapa tiga orang anak berusia 55 tahun itu memulakan inisiatif tersebut apabila COVID-19 menjejas perniagaannya. Sehingga hari ini dia sudah berjaya mengumpulkan kira-kira 50 tan sisa plastik sambil membantu orang ramai.

Sebagai pemilik restoran sayur-sayuran di Ubud, perniagaan Yasa, seperti kebanyakan orang lain di pulau itu, menderita apabila COVID-19 melanda dunia.

“Restoran saya tidak terkecuali daripada kesan pandemik. Jadi apabila orang tidak lagi berkunjung, saya terfikir: 'Wah. Apa nak buat?'

"Tapi saya berpegang teguh pada prinsip: Dalam setiap cabaran, pasti ada penyelesaian."

TERCETUSNYA IDEA 'PLASTIC EXCHANGE'

Walaupun pendapatannya sendiri terjejas, Yasa sedar ramai penduduk Bali yang mengalami nasib lebih teruk berbanding dengannya akibat pandemik COVID-19.

Ramai di pulau peranginan popular itu kehilangan pekerjaan dan terpaksa pulang ke kampung dengan simpanan yang tidak seberapa.

Pada masa yang sama, Yasa akur bahawa Bali mempunyai masalah lain, seperti pencemaran plastik.

Sementara itu, dia merasakan ramai orang bergantung pada agihan bantuan, terutama semasa pandemik, tanpa memikirkan mereka perlu untuk menyumbang kembali kepada Bumi atau masyarakat.

Oleh itu, pada Mei tahun lalu, dia melancarkan Plastic Exchange di kampung halamannya di Tabanan untuk memberi orang ramai 1kg beras sebagai imbalan bagi setiap 1kg sisa plastik yang dikumpulkan.

“Ia adalah inisiatif yang disebarkan dari mulut ke mulut. Kini, kami mempunyai kumpulan-kumpulan sembang WhatsApp, jadi orang ramai boleh menyebarkan khabar dalam kumpulan masing-masing.

“Program ini bukan satu kewajipan. Kalau orang nak beras, mereka boleh kumpul plastik.

"Jika mereka mahu membersihkan rumah mereka (dan membuang sisa plastik), kami akan memberi mereka ganjaran positif," katanya kepada Mediacorp.

Projek yang bermula di hanya satu kampung kini sudah berkembang menjadi inisiatif melibatkan 200 kampung di seluruh Bali.

“SISTEM PERTUKARAN BARANGAN ERATKAN HUBUNGAN ANTARA MANUSIA”

Indonesia ialah pencemar sampah plastik ke laut terbesar selepas China, dan kawasan semula jadi Bali seperti pantainya sering menjadi tempat pembuangan plastik.

Apabila Yasa dilahirkan pada 1966, plastik bukanlah masalah besar di Pulau Dewata itu.

Kehidupan pada waktu itu adalah sederhana, ujarnya.

“Di kampung saya, kami tidak membesar dengan wang. Kami hidup di kampung kami dengan sistem pertukaran barangan.

“Jadi jika kami memerlukan sesuatu seperti rempah ratus atau nasi, kami akan pergi ke rumah jiran dan membuat pertukaran dengan sesuatu yang lain. Sistem "barter" ini mengeratkan hubungan antara manusia dan ia tidak ternilai sekali," kata Yasa.

(Gambar: Facebook/Plastic Exchange)

(Gambar: Facebook/Plastic Exchange)

Sistem pertukaran barangan yang dipelajarinya semasa kecil akhirnya menjadi asas bagi program Plastic Exchange.

Ketika Yasa menuntut di universiti, dia menyedari terdapat banyak plastik di pulau itu yang mencemarkan alam sekitar.

Masalah itu semakin meruncing saban tahun dan pada 2019 pemerintah Bali mengharamkan plastik pakai buang.

BUKAN SEKADAR PLASTIK YANG DITERIMA

Dengan menyertai Plastic Exchange, orang ramai merasakan kesannya serta-merta - beras percuma dan rumah yang lebih bersih.

Mereka juga tidak merasakan tekanan memandangkan program itu adalah secara sukarela, kata Yasa.

Plastic Exchange menerima semua jenis plastik, termasuk plastik pakai buang seperti bungkusan plastik mahupun jenis yang boleh digunakan semula seperti baldi.

Barangan kitar semula lain - kadbod, kertas, tin dan botol minuman - juga dialu-alukan tetapi penduduk kampung mesti mengasingkan sisa sebelum menempatkannya di tempat meletak plastik yang dikhaskan.

Penduduk digalakkan membawa sisa ke tempat meletak sampah sebulan sekali dan sebagai gantinya, mereka akan menerima beras mengikut jumlah dan jenis plastik yang mereka serahkan.

Pada mulanya, penduduk menyerahkan 1kg sisa plastik dan Yasa akan memberi mereka 1kg beras, yang cukup untuk santapan empat orang sehari.

Memandangkan semakin ramai yang berminat dengan program itu, dia memutuskan setiap orang mesti mengutip kira-kira 4kg sisa bagi 1kg beras.

Memandangkan Bali belum mempunyai kilang kitar semula, dia bekerjasama dengan sebuah syarikat yang mengumpul plastik dan menghantarnya ke Jawa untuk dikitar semula.

Apabila daya usaha itu baru mula bertapak, Yasa terpaksa membeli beras dengan wangnya sendiri.

Meskipun perniagaannya terjejas dek COVID-19, dia bertekad untuk membeli beras daripada petani tempatan dan hanya memberikan beras bermutu kepada orang ramai.

“Beras mestilah datang dari kampung itu. Ia mesti dibeli daripada petani tempatan supaya ada ekonomi kitaran.”

Kini, Yasa gunakan wang derma untuk membeli beras kerana ramai yang mendapat tahu tentang inisiatif itu dan ingin membantu dari segi kewangan.

"Tetapi saya masih menerima soalan: 'Di manakah boleh saya bermula? Bagaimana saya boleh mendapatkan plastik itu?’ Saya kemudian berkata: ‘Jika anda ingin membersihkan dunia, bersihkan rumah anda dahulu. Jika anda mahu mengubah dunia, anda mesti bermula dengan diri anda sendiri.’”

BINA RUMAH GUNA BATU-BATA DIPERBUAT DARIPADA PLASTIK

Atas usahanya itu, Yasa dicalonkan sebagai Wira Pilihan CNN Tahun Ini. Pemenangnya akan diumumkan akhir bulan ini.

Pencalonan itu telah membantu menarik penderma baru dari luar negara dan kini kira-kira dua pertiga daripada pendermanya adalah dari Eropah, Kanada dan Australia.

Walaupun dia berharap untuk memenangi anugerah itu, Yasa berkata dia tidak pernah berniat mendapatkan pengiktirafan.

Matlamat seterusnya ialah menggunakan semula bahan dengan cara baru dan inovatif (upcycle) plastik dari Bali untuk dijadikan batu bata dan menggunakannya untuk membina rumah bagi keluarga susah.

Yasa juga mahu mengembangkan inisiatifnya ke bahagian-bahagian lain di Indonesia.

“Program ini akan bertahan selagi plastik wujud kerana kini orang ramai mula memikirkan tentang kredit plastik, seperti kredit karbon.

“Selagi ada plastik, selagi orang mahu melihat sekitaran yang bersih, saya rasa program ini akan diteruskan sepanjang hayat saya... kerana plastik akan sentiasa wujud." 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan