Ini yang perlu anda lakukan jika dikejar penyamar polis di M'sia...

Antara yang dirampas dalam operasi menjejaki individu yang menyamar sebagai polis baru-baru ini. (Gambar-gambar: Polis Johor/Facebook, Freeman Gan WT)
Siasatan dijalankan selepas polis daerah Kulai menerima laporan pada Isnin (5 Jun) berhubung rakaman kejadian yang dikongsi secara meluas di media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Sedenak di Kulai, Johor.
Video yang tersebar luas itu dimuat naik ke Facebook oleh seorang pengguna dikenali sebagai Freeman Gan WT. Dalam video itu, beliau mendakwa keretanya dikejar tiga orang lelaki dalam kereta berwarna kelabu.
Freeman Gan WT turut berkata bahawa beliau pada mulanya percaya individu-individu yang mengejarnya memang pegawai polis kerana lampu biru berkelip pada kenderaan mereka. Tiga individu terbabit juga dilihat memakai jaket pemantul cahaya dan topeng muka.
Kes penyamaran polis ini bukanlah yang pertama kali berlaku. Pada Julai 2022, polis Malaysia merampas sebuah kereta Nissan Skyline yang mempunyai "logo dan reka bentuk yang menyerupai kenderaan polis".
Segelintir warganet menyuarakan kebimbangan dan menyatakan kurang tahu tentang apa yang perlu dibuat sekiranya berdepan situasi sedemikian.
Sememangnya ia akan sukar untuk membezakan sama ada mereka dikejar oleh pegawai polis atau individu yang mempunyai niat jenayah.
Mediacorp mendapatkan maklumat untuk mencari tahu bagaimana untuk mengenal pasti polis Malaysia yang sebenar-benarnya dan apakah cara terbaik yang boleh dilakukan sekiranya dikejar penyamar.
DIPANTAU KERETA RONDA BERTANDA
Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap PDRM berkata polis 'rasmi' umumnya menggunakan dua jenis kereta berbeza untuk sebarang operasi di luar, iaitu kereta bertanda dan tidak bertanda.
Kereta yang bertanda adalah kenderaan peronda dan biasanya dikenali dengan logo rasmi PDRM pada pintu kereta serta "kotak siren segi empat tepat" pada bumbung kereta.

Jurucakap itu menjelaskan lagi, kereta yang tidak bertanda pula tidak dapat dibezakan dengan kereta biasa di jalan raya tetapi ia biasanya digunakan bagi operasi sulit.
“Bagaimanapun, kesalahan trafik di sepanjang lebuh raya biasanya dikendalikan oleh kereta peronda yang bertanda,” kata jurucakap itu.
Beliau menambah bahawa pemandu kenderaan yang bukan sasaran mana-mana siasatan jenayah tertentu, tidak mungkin ditahan kereta polis yang tidak bertanda.
Bagaimanapun, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud - seorang anggota bersekutu keselamatan jalan raya dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) - memberitahu Mediacorp bahawa mungkin ada beberapa senario di mana pegawai polis menggunakan kenderaan mereka sendiri untuk siasatan dan ini mungkin merumitkan keadaan.
"Saya telah melihat pegawai polis atau detektif yang menyiasat kes jenayah menggunakan kereta persendirian dan mereka juga menggunakan lampu suar mudah alih jadi saya faham ia sukar untuk dipastikan," kata Tengku Ahmad Marwan.
"Mungkin polis perlu menggariskan dengan jelas kepada orang ramai mengenai kenderaan yang mereka gunakan, dan untuk operasi yang mana, supaya ia jelas," tambahnya.
Jika seorang pemandu mengesyaki mereka dikejar penyamar polis, apa pula yang perlu dilakukan?
Tengku Ahmad Marwan, yang juga ahli majlis keselamatan jalan raya negeri Selangor, menegaskan pemandu yang berdepan situasi sedemikian tidak perlu cemas dan harus bertenang.
Katanya, langkah terbaik adalah pemandu itu boleh berhenti di balai polis berhampiran. Walau bagaimanapun, jika cara itu tidak praktikal, pemandu dinasihatkan supaya berhenti di kawasan yang cukup terang dengan kehadiran orang ramai di kawasan tersebut.
“Pertama, lakukan yang terbaik untuk memastikan sama ada kereta yang mengekori itu adalah kenderaan rasmi polis. Tetapi apabila anda yakin ia adalah palsu, anda perlu bertenang,” katanya.
“Hentikan kenderaan anda di tempat yang ramai orang atau orang awam di sekeliling, seperti stesen minyak atau perhentian rehat di lebuh raya. Pastikan anda berhenti di kawasan yang terang dengan orang ramai di sekeliling. Ini akan mengurangkan kemungkinan anda dirompak atau diserang,” tambah Tengku Ahmad Marwan.
Tegasnya, pemandu perlu bertenang bagi memastikan mereka terus memandu dengan selamat dan tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Sentiasa pastikan keselamatan semasa memandu. Walaupun diletakkan dalam situasi ini di mana anda (percaya) dikejar oleh pegawai polis palsu dan perlu memandu dengan laju untuk menyelamatkan diri, pastikan anda mengawal kenderaan anda sendiri dan tidak melanggar kenderaan atau pemandu lain,” kata Tengku Ahmad Marwan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang, menyuarakan sentimen yang sama.
Dalam catatan di Facebook pada Isnin (5 Jun), Encik Wong menggesa pemandu yang mengesyaki mereka dikejar oleh polis palsu supaya "memandu ke balai polis dengan cara yang selamat" dan membuat laporan, memberikan butiran seperti plat dan jenis kenderaan serta warnanya.
"Jika anda betul-betul ditahan oleh seseorang yang mendakwa dirinya pegawai polis, anda berhak untuk meminta pengenalan mereka dan bertanya mengapa anda ditahan," kata ADUN dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu.
Mereka yang menyamar sebagai pegawai polis boleh didakwa mengikut seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.