Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ini wajah mangsa keganasan terhadap wanita di Yaman

"Saya ibarat hidup di neraka," katanya, menggambarkan tahun-tahun perkahwinannya yang menurutnya dihabiskan dengan dirantai dan kerap dipukul.

Anggaran Waktu Membaca:
Ini wajah mangsa keganasan terhadap wanita di Yaman

Al-Anoud Hussain Sheryan, remaja 19 tahun yang cacat wajah dek keganasan suaminya. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 15 Feb 2021 11:31PM Dikemas Kini : 15 Feb 2021 11:40PM

SANAA: Bernikah pada usia 12 tahun, diusir pada usia 16 tahun, dan kemudian wajahnya menjadi cacat setelah disimbah asid. Nasib yang menimpa Cik Al-Anoud Hussain Sheryan satu gambaran mengejutkan tentang penderaan yang berlaku dalam sebuah masyarakat yang dibelenggu peperangan dan kemiskinan.

Kini berusia 19 tahun, wanita Yaman ini bersetuju untuk menceritakan kisah penderitaan yang dialaminya di tangan suami beliau - sesuatu yang jarang dikongsi dalam sebuah negara di mana keganasan rumah tangga rata-rata merupakan masalah yang tersembunyi.

"Dia menarik rambut saya dan menuang asid pada tubuh saya sambil tertawa," katanya kepada AFP, dengan tudungnya menutupi wajah yang berparut teruk akibat serangan pada Oktober lalu yang juga meninggalkan luka mendalam pada tubuhnya.

"Saya ibarat hidup di neraka," katanya, menggambarkan tahun-tahun perkahwinannya yang menurutnya dihabiskan dengan dirantai dan kerap dipukul.

Apabila ayahnya meninggal dunia, ibu Cik Al-Anoud berkahwin lagi dan kemudian tergesa-gesa mencari suami untuk anak perempuannya.

"Beliau mahu melindungi saya," katanya.

Setelah hidup selama empat tahun seakan "hamba", Cik Al-Anoud akhirnya diusir keluar oleh suaminya dan kini dijaga oleh kakaknya dan memulakan latihan untuk menjadi seorang jururawat.

Namun bekas suaminya memutuskan untuk merujuk semula , dan apabila Cik Al-Anoud menolak, lelaki itu bertindak untuk membalas dendam.

Setelah dimasukkan ke hospital di mana beliau pernah bekerja, Cik Al-Anoud kini sedang menunggu untuk menjalani tiga pembedahan plastik untuk memperbaiki sebahagian kerosakan yang dialaminya.

Dr Moutawakal Chahari, yang merawat beliau berkata prosedurnya amat rumit dan mahal. Malah, bil rawatan cemas yang diterimanya belum lagi dilunaskan.

Selain itu, Dr Chahari juga menekankan "kesan psikologi yang tidak dapat diperbaiki" akibat penderitaan wanita itu.

PERANGKAAN YANG MENGGERUNKAN

Cik Al-Anoud telah membuat aduan terhadap bekas suaminya, tetapi lelaki itu menghilangkan diri dan masih lolos.

Wanita malang itu berharap agar mana-mana pihak, tidak kira siapa jua - agensi kemanusiaan, perkhidmatan pemerintah, atau kumpulan akar umbi bukan pemerintah - dapat menghulurkan bantuan kewangan yang diperlukannya.

"Saya mahu polis dan mahkamah menghukum penjenayah yang melakukan ini, tetapi saya juga ingin menuntut kembali masa muda, pelajaran dan pekerjaan saya. Saya mahu mendapatkan kembali hidup saya," katanya.

RAYUAN BANTUAN

Dalam satu laporan pada 2020, Tabung Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), yang menangani masalah seksual dan penduduk, menganggarkan 2.6 juta wanita dan kanak-kanak perempuan berisiko mengalami keganasan jantina di Yaman.

Laporan itu menunjukkan bahawa di tengah pandemik COVID-19, dengan langkah-langkah sekatan yang menyebabkan beban besar, "kes-kes keganasan rumah tangga sedang meningkat".

Konflik berpanjangan antara pemberontak Houthi yang disokong Iran dengan pemerintah yang disokong oleh pakatan tentera pimpinan Arab Saudi telah menyebabkan kematian puluhan ribu orang dengan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal.

Pergolakan itu menjerumuskan Yaman - negara termiskin di Semenanjung Arab - ke dalam krisis kemanusiaan terburuk di dunia, menurut PBB, dengan sekitar "16 juta orang dibelenggu kelaparan" pada 2021.

Program Pembangunan PBB (UNDP) telah melancarkan salah satu inisiatif untuk memerangi keganasan terhadap wanita.

Dengan sokongan kerajaan Jepun, ia telah melancarkan aplikasi mudah alih untuk memberi kaunseling kepada mereka yang terselamat dari keganasan di seluruh Yaman. Menurutnya serangan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan telah melonjak 63 peratus sejak 2015.

Aplikasi yang pertama kali diuji di selatan negara itu membantu merujukkan mangsa ke perkhidmatan perlindungan dan sokongan. 

Sumber : AFP/TQ/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan