Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Ini tuduhan jahat. Jangan hina anggota tentera," kata Ismail Sabri dakwaan ada kem tentera sudah undi

Anggaran Waktu Membaca:
BERA: Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim kononnya ada anggota tentera yang sudah mengundi khususnya dalam kawasan parlimen Bera di Pahang untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dibayar untuk berbuat demikian adalah fitnah serta tuduhan jahat kepada pasukan keselamatan itu, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. 

Beliau berkata dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menghina anggota tentera bukan hanya di Bera, malah di seluruh negara yang selama ini berkhidmat mempertahankan negara serta dihormati masyarakat. 

“Tuduhan mengatakan tentera dibayar ini tuduhan jahat. Jangan hina anggota tentera. Saya minta Anwar tarik balik tuduhan tersebut dan minta maaf (tapi) bukan pada saya tetapi kepada anggota tentera kerana tuduh mereka terima wang dan sebagainya,” katanya. 

Encik Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Moh Ngeteh bersama komuniti Orang Asli di Kampung Bongkok pada Jumaat (11 Nov). 

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Encik Anwar yang disiarkan sebuah portal berita kononnya terdapat kem tentera terutamanya di Bera, yang melaksanakan undian awal hari ini, selain dikatakan dibayar RM300 (S$89.42). 
Selain itu, Encik Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan apa yang didakwa sebagai undi awal itu adalah undi pos kepada anggota pasukan keselamatan yang boleh memohon untuk mengundi secara pos, jika mereka tidak dapat hadir semasa hari mengundi awal kerana bertugas. 

"... di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kita ada kategori undi pos, ada undi awal dan undi biasa," katanya. 

SPR menetapkan 15 Nov sebagai hari pengundian awal manakala hari pengundian adalah pada 19 Nov ini. 
Sumber : Bernama/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan