Skip to main content

Dunia

'Ini mahkamah bukan kedai kopi!' tegas hakim setelah Najib gagal hadir prosiding rayuan

Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan kes mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak memberi amaran bahawa ia adalah mahkamah undang-undang dan bukan kedai kopi.

Anggaran Waktu Membaca:
'Ini mahkamah bukan kedai kopi!' tegas hakim setelah Najib gagal hadir prosiding rayuan

Bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 05:18PM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 05:26PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuan kes mantan Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak memberi amaran bahawa ia adalah mahkamah undang-undang dan bukan kedai kopi.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil berkata demikian selepas peguam Harvinder Singh Sidhu yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa penjamin kepada bekas perdana menteri itu tidak hadir pada prosiding hari ini (7 Dis).

Hakim Abdul Karim: Mana Najib? Mana penjamin?

Harvinder: Perayu (Najib) tidak hadir kerana beliau menjadi kontak kasual kepada anak peguam Muhammad Shafee Abdullah iaitu, Muhammad Farhan yang disahkan positif COVID-19. Penjamin pun tidak hadir.

Hakim: Najib menjadi kontak kasual, mudah memberi alasan, tetapi mahkamah memerlukan bukti.

Kontak rapat ada dua kategori gejala. Paling penting hadir ke mahkamah. Semua orang telah terdedah (kontak rapat). Ini adalah mahkamah undang-undang, bukan air liur. Kami mahu bukti. Penjamin pun tidak hadir!

Ketika mendengar penjelasan peguam, penjamin Najib, Faizal Shamsuddin dilihat memasuki bilik mahkamah dan kemudian Harvinder memaklumkan kepada panel mengenai kehadiran penjamin.

Sejurus selepas penjamin itu masuk, Hakim Abdul Karim menyoal Faizal mengenai kegagalan Najib untuk hadir pada prosiding hari ini.

Hakim Abdul Karim: Mana Najb? Kamu tahu kenapa Najib tak datang ke mahkamah, tanggungjawab sebagai penjamin adalah berat. Kamu kena menentukan kehadiran dia. Adakah kamu mengambil tahu kenapa Najib tidak hadir?

Sebagai penjamin kamu kena mengambil tahu, kami boleh membatalkan jaminan jika kami tidak berpuas hati dan waran tangkap boleh dikeluarkan untuk menangkap Najib. Mana Najib?

Faizal : Datuk Seri ada di Pavillion.

Hakim Abdul Karim: Pavillion? Pavillion itu rumah dia?  Awak telefon dia tanya ke atau awak tembak sahaja? Jangan main tembak, main agak sahaja, ini mahkamah bukan kedai kopi.

Hakim Abdul Karim yang bersidang bersama Hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera juga bertanya mengenai seorang lagi penjamin Najib.

"Mana penjamin lagi seorang? Dalam perjalanan? Mahkamah mula pukul 9 pagi, datang ikut suka hati?,” katanya.

Faizal turut diberi amaran kerana membuat rakaman ketika prosiding.

"Awak rakam ke? Ini mahkamah mana boleh buat rakaman, padamkan! Awak hantar pada siapa?," kata Hakim Has Zanah.

Selepas itu kelihatan jurubahasa mahkamah dan beberapa anggota polis menghampiri penjamin berkenaan dan memeriksa telefon bimbitnya.

Pada pagi ini mahkamah sepatutnya mendengar permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan sabitan kes SRC International Sdn Bhd. 

Mahkamah kemudiannya menangguhkan pada 12.30 tengah hari tadi untuk mendengar permohonan itu secara dalam talian.

Sumber : Bernama/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita