Skip to main content

Dunia

Ini kisah jaguh kung fu berkaki satu di Utara Syria

Meski kudung sebelah kaki akibat bedilan meriam tidak menghambat cita-cita Fadel Othman mendidik pasukan pahlawan cilik untuk bertanding di peringkat antarabangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Ini kisah jaguh kung fu berkaki satu di Utara Syria

Fadel Othman bersama anak-anak didiknya di akademi kung fu di Syria (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Dec 2021 11:55PM Dikemas Kini : 06 Dec 2021 11:59PM

ABZIMU: Sekumpulan kanak-kanak di kawasan utara Syria, yang dikuasai kumpulan pemberontak, giat mengasah teknik mempertahankan diri di bawah bimbingan seorang pelatih yang luar biasa bakatnya- jaguh kung fu yang kudung sebelah kaki, Fadel Othman.

Lelaki berusia 24 tahun itu mengedalikan sebuah sekolah seni mempertahankan diri yang kecil di bandar Abzimu, di kawasan desa wilayah Aleppo.

Anak muridnya seramai 100 orang termasuk anak yatim piatu serta kanak-kanak yang kehilangan ayah mereka dalam perang di Syria yang sudah berlarutan selama sedekad.

"Ini merupakan pasukan pertama yang saya latih sejak saya cedera," kata Fadel kepada AFP di tengah-tengah padang di mana dia selalu mengadakan kelas kung funya.

"Saya sangat yakin bahawa mereka akan membesar menjadi juara dunia pada satu hari nanti," kata Fadel merujuk kepada anak-anak didiknya.

Fadel cedera terkena bedilan meriam pada 2015 semasa pertempuran antara kumpulan pemberontak dan pasukan pemerintah di Aleppo.

Dia merupakan antara 86,000 warga Syria yang terpaksa dikudungkan anggota tubuhnya akibat kecederaan berkaitan peperangan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Saya rasa seperti kehilangan segala-galanya," kongsi Fadel kepada AFP di akademinya, di bawah bendera besar parti pembangkang Syria.

Namun, Fadel yang mula berlatih kung fu pada usia muda 12 tahun, terus menjalani latihan dengan pelatih seni mempertahankan diri sepanjang tiga tahun dia di Turki untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Malah, dia juga menyertai beberapa pertandingan.

Awal tahun ini, Fadel menubuhkan sebuah akademi kung fu yang melatih pelajar di pelbagai peringkat.

Gambar-gambar penyertaan Fadel di pelbagai pertandingan menghiasi dinding gimnasium yang lengkap dengan peralatan tinju dan besi 'pull-up'.

Dalam salah satu kelas, dia menunjukkan cara melakukan senaman memanaskan tubuh tanpa perlu bantuan tongkat.

Semangat berjuang itu yang ingin dikongsi bersama murid-murid - "gerakan berguna yang boleh mereka gunakan untuk mempertahankan diri" dan menambah keyakinan diri.

Selain latihan di dalam gim, sesi latihan juga diadakan di sebuah padang lapang di Abzimu.

"Mereka saya anggap seperti adik-adik saya," katanya merujuk kepada sekitar 14 pelajar yang berpakaian seragam.

"Matlamat saya ialah untuk membangunkan pasukan yang kuat dan memupuk sebuah generasi (pahlawan) yang dapat bertanding di peringkat antarabangsa,"ujarnya penuh bersemangat. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita