Ini dia 'Y', gadis Indonesia dengan satu huruf saja pada namanya
Jika dalam filem James Bond ada watak yang diberi nama-nama kod satu huruf seperti M atau Q, Indonesia pula ada seorang gadis yang dipanggil dengan satu huruf saja - namun bukan nama gelaran tetapi nama sebenarnya.
(Gambar: Kumparan)
INDONESIA: Jika dalam filem James Bond ada watak yang diberi nama-nama kod satu huruf seperti M atau Q, Indonesia pula ada seorang gadis yang dipanggil dengan satu huruf saja - namun bukan nama gelaran tetapi nama sebenarnya.
Gadis asal Yogyakarta menarik perhatian media Indonesia baru-baru ini kerana namanya, Y, yang diberikan sendiri oleh ibu bapanya sejak lahir.
Menurut laman berita Kumparan, ayah kepada gadis itu pada asalnya ingin memberinya nama Dasih Utami, namun bertukar fikiran ketika ingin mendaftarkannya secara rasmi.
"Banyak keberkatan, orang mudah kenal," kongsi gadis yang dilahirkan pada 7 Disember 1997 itu kepada Kumparan.
Mahasiswi Universiti Negeri Yogyakarta (UNY) jurusan Pendidikan Teknik Mekatronik menjelaskan bahawa beliau hanya sedar bahawa namanya hanya mempunyai satu huruf semasa melangkah ke sekolah menengah pertama. Ini adalah kerana semasa kecil beliau dipanggil dengan nama Ai. Setelah mengetahui nama sebenarnya, beliau bertekad untuk memperkenalkan diri menggunakan nama tersebut.
MESKI SINGKAT, NAMA PUNYAI MAKNA MENDALAM
Y berkongsi bahawa beliau selama ini tidak pernah diganggu dek namanya yang unik.
Namun satu cabaran yang beliau pernah hadapi adalah dari segi pentadbiran semasa mendaftarkan nama bagi ujian nasional di peringkat sekolah menengah.
Sementara itu bapanya, Slamet Sugiyono, 57 tahun, mendedahkan asal usul nama Y. Meskipun sangat ringkas, menurutnya nama Y mempunyai makna yang amat mendalam. Y diambil dari huruf hijaiyah (abjad Arab) terakhir, 'Ya' dan membawa maksud kesempurnaan.
"Mengapa mengambil surat hijaiyah Arab terakhir. Kerana huruf yang terakhir itu menandakan kesempurnaan. Sekiranya huruf hijaiyah jika tidak ada Ya maka ia tidak lengkap. Saya memberikan nama Y kerana Y adalah pelengkap, sempurna," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.