Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Ini bukti kehakiman negara bebas dari pengaruh kuasa politik," kata Muhyiddin mengenai hukuman Najib

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (S$65.3 juta) ke atas mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$13 juta), menerima pelbagai reaksi daripada para pemimpin di negara itu. 

Ada antara mereka menyifatkan keputusan itu sebagai bukti badan kehakiman negara bebas daripada dipengaruhi kuasa politik namun terdapat juga yang menzahirkan rasa simpati terhadap bekas perdana menteri itu.

Mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa (23 Ogos) membuktikan sistem kehakiman negara yang bebas dapat menjamin keadilan dan mengembalikan maruah negara yang tercalar.

“Kebebasan sistem kehakiman inilah yang saya pertahankan ketika saya menjadi Perdana Menteri. Walaupun ada desakan politik supaya saya campur tangan dalam kes tertentu, saya tegas menolaknya walau akhirnya saya terpaksa meletak jawatan kerana mempertahankan prinsip ini.

“Saya berharap, kebebasan badan kehakiman di negara kita terus dilindungi tanpa ada cubaan campur tangan atau desakan politik daripada mana-mana pihak agar keadilan dapat tertegak. Tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara kita akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral, na'uzubillah,” katanya di Facebook pada Selasa (23 Ogos). 

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim pula berpandangan keputusan terhadap Encik Najib adalah hasil daripada aspirasi rakyat yang ingin memastikan badan kehakiman negara bebas dan membersihkan negara daripada gejala rasuah. 

“Ini membuktikan rakyat itu berkuasa, rakyat telah membuat keputusan pada 2018 untuk memastikan badan kehakiman bebas dan negara bersih daripada rasuah.

“Keputusan rakyat inilah yang membolehkan pendakwaan yang profesional dan ketegasan serta keberanian badan kehakiman membuat keputusan berdasarkan fakta dan hukum, bukan mengikut  telunjuk politik pihak yang berkuasa,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebooknya. 

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook menyifatkan keputusan pada Selasa (23 Ogos) sebagai satu amaran kepada semua pemimpin politik agar tidak terlibat dalam isu penyalahgunaan kuasa selain turut menambah perkara itu adalah satu kemenangan untuk sistem demokrasi negara.

Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan berharap Encik Najib dan keluarga terus tabah susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan terhadap beliau dan menganggap kes tersebut akan terus diulas pelbagai pihak. 
 
“Beliau anak Perdana Menteri, namun telah melantik saya, anak penoreh getah sebagai Timbalan Menteri sebelum ini dan tidak akan saya lupa. Kes ini akan terus diulas. Rakyat juga sedang menghakimi,” katanya di Facebook.

Naib Presiden UMNO Mahdzir Khalid berkata jasa dan khidmat bakti Encik Najib kepada UMNO dan negara sebelum ini tidak boleh dinafikan dan beliau menzahirkan simpati terhadap bekas perdana menteri itu dan seluruh ahli keluarganya susulan keputusan hari ini. 

“Keadilan yang ditegakkan dalam keadaan terburu-buru adalah keadilan yang disembunyikan, atau Justice hurried is justice buried, adalah satu frasa yang boleh kita hayati bersama dalam situasi ini,” katanya. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan