Skip to main content

Dunia

Ini 10 negara untuk anda lihat beruang panda, selain China

Anggaran Waktu Membaca:
 Ini 10 negara untuk anda lihat beruang panda, selain China

Ai Bao bersama salah satu anak kembarnya. (Gambar: AFP/Everland)

Diterbitkan : 12 Jul 2023 09:08PM
CHINA: China diketahui mempunyai tradisi meminjamkan beruang-beruang panda kepada negara-negara lain sebagai tanda muhibah.

Terdapat sekurang-kurangnya 65 beruang panda di luar China, di 18 negara, menurut laporan South China Morning Post (SCMP), termasuk di Singapura.

Bermakna, jika anda ingin melihat beruang panda, selain di sini, ada lagi 17 negara lain boleh anda kunjungi.

Sempena kelahiran anak kembar kepada beruang panda bernama Ai Bao di sebuah taman haiwan di Korea Selatan pada Rabu (12 Jul), ayuh ketahui tentang beruang-beruang panda China di merata dunia.

1. SINGAPURA

Nama beruang panda: Jia Jia, Kai Kai dan Le Le.

Jia Jia yang berusia 14 tahun dan Kai Kai berusia 15 tahun, tiba di Singapura pada 2012 dan dipinjamkan untuk tempoh 10 tahun. Jia Jia melahirkan Le Le pada Ogos 2021.
Meskipun tempoh Jia Jia dan Kai Kai tinggal di River Wonders - iaitu sebahagian daripada Mandai Wildlife Reserve - dilanjutkan sehingga 2027, Le Le akan dipulangkan ke China tahun ini.

2. KOREA SELATAN

Nama beruang panda: Ai Bao, Le Bao, Fu Bao and anak kembar yang belum diberi nama.

Ai Bao, berusia sembilan tahun tiba di Korea Selatan pada 2016. Ia melahirkan anak kembar pada 7 Julai di Everland Resort, iaitu taman tema terbesar di negara itu.

Dua anak beruang panda yang baru dilahirkan itu merupakan kembar pertama dilahirkan di Korea Selatan dan juga di luar China pada tahun ini.
Related article image
Anak-anak beruang panda ini kembar pertama dilahirkan di Korea Selatan. (Gambar: AFP/Everland)
Beruang panda kembar itu dilahirkan dengan jarak dua jam antara satu sama lain, lapor SCMP.

Ai Bao dan pasangannya Le Bao, 11 tahun, juga mempunyai satu lagi anak yang bernama Fu Bao.

Fu Bao merupakan anak beruang panda pertama dilahirkan di Korea Selatan - pada 2020.

Ai Bao dan Le Bao bakal dipulangkan ke China pada 2031.

3. AMERIKA SYARIKAT

Nama beruang panda: Ya Ya, Le Le, Mei Xiang, Tian Tian, Xiao Qi Ji, Ya Lun, Xi Lun, Lun Lun, Yang Yang

Ya Ya, 20 tahun, yang sebelum ini ditempatkan di Taman Haiwan Memphis di Tennessee, Amerika Syarikat sudah dihantar pulang ke Taman Haiwan Beijing pada 8 Julai.
Related article image
Ya Ya di Taman Haiwan Memphis. (Gambar: Lin Workman/Facebook)
Ini menyusuli perbahasan berbulan lamanya berhubung cara ia dijaga di kemudahan Amerika itu.

Pasangannya, Le Le, sudah mati akibat penyakit jantung pada Februari dan bangkainya dihantar ke China, lapor SCMP.

Ini bermakna terdapat baki tujuh beruang pada di Amerika Syarikat.

Mei Xiang dan Tian Tian sekarang ini berada di Taman Haiwan Negara Smithsonian. Anak keempat dua beruang panda itu, Xiao Qi Ji, juga berada di sana.

Lagi tiga anak beruang panda sudah dikembalikan ke China.

Mei Xiang, Tian Tian dan Xiao Qi Ji juga akan dihantar pulang pada hujung tahun ini.

Beruang panda kembar, Ya Lun dan Xi Lun dipinjamkan kepada Taman Haiwan Atlanta dan dijangka dipulangkan ke China pada awal 2024.

Ibu bapa Ya Lun dan Xi Lun, iaitu Lun Lun dan Yang Yang dijadual pulang pada lewat 2024.
Related article image
Mei Xiang (kiri) dan Tian Tian di taman haiwan negara Smithsonian di Washington. (Gambar: AFP)
4. JEPUN

Nama beruang panda: Shin Shin, Ri Ri, Xiao Xiao, Lei Lei, Xiang Xiang, Eimei, Ouhin, Touhin, Rauhin, Yuihin, Saihin dan Fuhin.

Empat beruang panda sudah dipulangkan pada Februari lalu, meninggalkan baki sembilan di Jepun.

Shin Shin dan Ri Ri pertama kali tiba di Taman Haiwan Ueno pada 2011. Kedua-duanya kekal di Jepun bersama anak kembar Xiao Xiao dan Lei Lei, yang dilahirkan pada 2021.

Beruang panda bernama Xiang Xiang pula dilahirkan pada 2017 dan sepatutnya pulang pada 2019 tetapi hanya meninggalkan Jepun pada Feruari lalu disebabkan sekatan pandemik, menurut SCMP.
Related article image
Shin Shin di Taman Haiwan Ueno Tokyo pada 2017. (Gambar: AFP)
Lagi tiga beruang panda - Eimei berusia 30 tahun dan anak kembarnya berusia lapan tahun, Ouhin dan Touhin, yang berada di Wakayama di daerah Kansai - dihantar pulang pada masa yang sama.

Beruang panda betina Rauhin, Yuihin, Saihin dan Fuhin pula kekal berada di Adventure World, Wakayama.

5. RUSIA

Nama beruang panda: Ru Ying dan Ding Ding
Presiden China Xi Jinping menghadiahkan dua beruang pada kepada Moscow pada 2019 menyusuli satu mesyuarat dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Ru Yi dan Ding Ding, yang sekarang berada di Taman Haiwan Moscow, akan dihantar pulang ke China pada 2034, menurut SCMP.

6. SCOTLAND

Nama beruang panda: Yang Guang dan Tian Tian

Taman Haiwan Edinburgh, satu-satunya tempat tinggal bagi beruang panda di Britain, menerima Yang Guang dan Tian Tian pada 2011 sebagai sebahagian daripada aturan 10 tahun dengan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China.
Tempoh tersebut dilanjutkan dua tahun dan kedua-dua beruang panda akan dihantar pulang pada hujung 2023.

7. QATAR

Nama beruang panda: Suhail dan Soraya

Menjelang Piala Dunia 2022, China menghadiahkan beruang panda betina, Si Hai, yang ditukar namanya kepada Soraya dan beruang panda jantan, Jing Jing, yang ditukar namanya kepada Suhail di Qatar.

Kedua-duanya akan berada di negara itu buat masa ini.

8. SEPANYOL

Nama beruang panda: Hua Zui Ba, Bing Xing, You You, Jiu Jiu, Hua Zui Ba dan Bing Xing.
Semua beruang panda tersebut dihadiahkan kepada Taman Haiwan Madrid pada 2007.

Ibu beruang panda Hua Zui Ba melahirkan anak kembar You You dan Jiu Jiu di Taman Haiwan Madrid pada 2021; kembar itu akan dihantar pulang ke China tahun depan.

9. PERANCIS

Nama beruang panda: Huan Huan, Yuan Zi, Huan Lili dan Yuan Dudu.

Huan Huan dan Yuan Zi dihadiahkan kepada Perancis pada 2012. Pada 2021, Huan Huan melahirkan anak kembar di Taman Haiwan Beauval, bernama Huan Lili dan Yuan Dudu.

Ibu bapa angkat Huan Lili dan Yuan Dudu ialah penyelam China, Zhang Jiaqi dan pemain bola sepak Perancis Kylian Mbappe.
Tempoh Huan Huan dan Yuan Zi dipinjamkan dilanjutkan sehingga 2027.

Satu lagi anak pasangan beruang panda tersebut, Yuan Meng, menjadi tajuk berita pada 2017, sebagai anak beruang panda pertama dilahirkan di Perancis. Yuan Meng dipulangkan ke China pada Julai.

10. AUSTRALIA

Nama beruang panda: Wang Wang dan Fu Ni

Pada 2009, Wang Wang dan Fu Ni dihadiahkan kepada Taman Haiwan Adelaide.

Kedua-duanya akan terus berada di taman haiwan itu sehingga 2024.
Related article image
Gabenor Australia ketika itu, Quentin Bryce bersama beruang panda, Wang Wang di Taman Haiwan Adelaide pada 2009. (Gambar: AFP)
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita