Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Industri wisata M'sia perlukan produk baru, premium tarik lebih ramai pelancong

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Industri pelancongan Malaysia memerlukan produk baru terutama yang bertaraf premium bagi menarik lebih ramai pelancong berkualiti berikutan ia semakin meningkat selepas dua tahun terjejas akibat pandemik COVID-19.

Presiden Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) Uzaidi Udanis berkata penggiat industri perlu mengambil peluang dengan mewujudkan produk pelancongan seumpama itu kerana pelancong kini berminat dengan tarikan yang menjanjikan pengalaman unik.

“Pasaran pelancongan juga kini bertukar menjadi dinamik, sekali gus menyaksikan peningkatan kos pakej dan harga tiket penerbangan.

“Jadi takkan kita nak jual pakej pada harga biasa? Produk kita hendaklah lebih premium untuk kita dapat tarik lebih ramai pelancong berkualiti, bukan (berdasarkan) kuantiti (sahaja),” katanya semasa sidang media selepas Majlis Pelancaran Johor Sumpit Challenge and Aboriginal Festival 2022 di Johor Bahru pada Rabu (25 Mei).

Beliau berkata produk pelancongan seperti JDT Hummer Tour dan Caravan Park di Johor merupakan antara produk berkualiti yang menjadi tarikan.

Encik Uzaidi berkata pada masa sama, teknik pemasaran terbaik juga amat diperlukan berikutan industri pelancongan dunia ketika ini semakin sibuk.

“Semua orang hendak melancong tetapi apa strategi pemasaran kita? Harus buat promosi, jadi lebih aktif dan beri perkhidmatan yang berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Johor Sumpit Challenge and Aboriginal Festival 2022 anjuran Koperasi Jakun Asli Peta Mersing Berhad akan berlangsung pada 8 Ogos ini di Kampung Peta, di Taman Negara Endau-Rompin, Mersing.

Pesta itu, yang juga sebahagian daripada pakej eko-pelancongan, menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan sumpit, persembahan kebudayaan Orang Asli dan menaiki rakit.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan