Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Industri wisata M'sia orak langkah perhebat pemasaran; pikat pekerja

Anggaran Waktu Membaca:
Industri wisata M'sia orak langkah perhebat pemasaran; pikat pekerja

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. (Gambar: Malay Mail)

SINGAPURA: Pembukaan semula sempadan Malaysia bulan depan sudah lama dinanti-nantikan.

Ia dialu-alukan kerana dianggap sebagai langkah kritikal untuk mencergaskan pelancongan dan memacu pemulihan ekonomi negara itu.

Industri pelancongan Malaysia sudah memulakan usaha pemasaran dan promosi serta mengambil semula pekerja secara beransur-ansur.

Namun, masih ada yang tertanya-tanya sama ada pembukaan itu bakal mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan, atau sebaliknya iaitu mewujudkan lebih banyak lagi cabaran.

Pengurus hotel butik Zaidi Zakaria tidak sabar untuk menyambut tetamu apabila Malaysia membuka semula sempadannya pada 1 April depan.

Seperti banyak hotel lain di Georgetown, Pulau Pinang, bilik-bilik hotelnya hampir kosong sepanjang dua tahun lalu akibat sekatan sempadan bagi membendung pandemik.

"Saya gembira kerajaan akan membuka semula sempadan pada 1 April. Ia baik untuk hotel. Tetamu saya kesemuanya warga asing dari Singapura, China dan Jepun," kata Encik Zaidi.

Sebelum pandemik, sektor pelancongan adalah antara penyumbang utama kepada ekonomi Pulau Pinang.

Namun akibat sekatan-sekatan sejak Mac 2020, banyak kedai, restoran dan hotel terpaksa menggulung tikar.

Lantaran itu, pembukaan semula sempadan bulan depan amat dialu-alukan para pemain industri.

Namun kurangnya ketersambungan dan jadual penerbangan yang tidak kerap mungkin menaikkan tambang pesawat.

Ini mungkin mendorong sesetengah pelancong menjadi tawar hati untuk berwisata.

Sungguhpun para pelancong divaksin tidak perlu dikuarantin, namun mereka perlu menunjukkan hasil ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) negatif dua hari sebelum ketibaan dan mengambil ujian pantas antigen (RTK) dalam tempoh 24 jam sebaik tiba di destinasi.

Menurut pakar industri, isu keyakinan adalah utama dan kerajaan Malaysia perlu menggiatkan usaha menarik para pelancong asing.

Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan proses yang tepat juga penting agar para pelawat tidak beratur panjang di pusat imigresen dan lapangan terbang.

Pembukaan semula sempadan Malaysia ini menandakan tahap terakhir bagi negara itu melangkah ke fasa endemik, untuk selari dengan langkah-langkah yang dilakukan negara-negara jiran lain.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan