Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Industri tekstil M'sia berpotensi besar, kata PM Ismail Sabri

Anggaran Waktu Membaca:

LONDON: Industri tekstil Malaysia, khususnya fabrik unik dan kreatif seperti tenunan serta batik, berpotensi besar untuk membawa negara ke persada antarabangsa dan menjadi komoditi menguntungkan, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Melahirkan keyakinan industri negara seperti Tenun Pahang Diraja, batik, songket dan tekat berdaya maju untuk diketengahkan di mata dunia, Encik Ismail Sabri berkata industri tekstil negara mampu menarik ramai orang sekali gus menjana pendapatan.

“Saya percaya jika promosi besar-besaran dapat dilakukan (bagi memperkenal industri tekstil negara seperti tenunan dan batik) di London, ia mampu menarik pelancong yang datang ke kota ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di London.

Encik Ismail Sabri, yang tiba di ibu negara United Kingdom pada awal pagi Selasa (10 Mei), melawat Pameran Tenun Pahang Diraja yang diadakan buat julung-julung kalinya di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square.

Awal dari itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima menghadap Encik Ismail Sabri serta perwakilannya dan kemudian melawat Pameran Tenun Pahang Diraja yang diadakan hingga Ahad ini.

Tunku Azizah, yang memperjuangkan program tenunan tanah air, turut memberi penjelasan kepada Encik Ismail Sabri berkaitan pameran itu. Ia antara lain memperagakan tenunan dari penjara dan menampilkan busana tenunan termasuk koleksi persalinan tenun Raja Permaisuri Agong.

Perdana Menteri, yang sedang dalam perjalanan ke Washington DC bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat, berada di London untuk melawat pameran itu dan menghadiri majlis Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia bersama rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom.

Encik Ismail Sabri, yang merupakan Ahli Parlimen Bera, melahirkan rasa bangga terhadap sambutan memberangsangkan bagi Pameran Tenun Pahang Diraja ‘menyulam harapan’ sempena Minggu Kraf London kerana ia melibatkan hasil kreativiti penghuni Penjara Penor dan Bentong di Pahang.

Beliau berkata program tenunan seumpamanya boleh ditambah baik termasuk dari segi latihan dan kemahiran serta mendapat sokongan orang ramai.

Merujuk cadangan kerajaan Pahang untuk menubuhkan pusat tenunan di Pekan, Perdana Menteri percaya lebih banyak pendidikan latihan teknikal dan vokasional dalam industri tekstil negara akan dapat diwujudkan.

Beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak institut latihan berkaitan industri tekstil negara akan diwujudkan pada masa depan.

Encik Ismail Sabri, yang turut mempelopori pemakaian batik pada setiap Khamis dalam kalangan penjawat awam dan Ahli Parlimen, berkata beliau bangga batik negara kini semakin diterima dan pemakaiannya semakin menggalakkan.

Perdana Menteri dan perwakilannya kemudian berlepas ke Washington DC pada 5.00 petang waktu tempatan semalam (12.00 tengah malam waktu Malaysia).

Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan