Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Industri pelancongan M'sia perlu lebih ramai pekerja jelang pembukaan semula sempadan

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia akan memanfaatkan industri pelancongan, sekali gus memerlukan lebih ramai sumber manusia termasuk siswazah baru berkaitan industri berkenaan, menurut Pengerusi AirAsia X Bhd Rafidah Aziz.

Beliau yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut menggesa pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas, selain pematuhan SOP yang tegas sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka sepenuhnya pada bulan depan.

Beliau juga menekankan keperluan untuk menyelaraskan SOP yang akan dilaksanakan di seluruh negara.

“Bagi memastikan persekitaran yang menggalakkan untuk penerbangan masuk dan keluar, marilah patuhi SOP memandangkan negara-negara lain turut mengenakan SOP yang ketat.

“Pelancong asing yang masuk ke negara ini juga perlu mematuhi SOP kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian ijazah sulung cabang pendidikan Halim Mazmin Group - Meritus University, Meritus College dan HM Aerospace (akademi latihan penerbangan) di Kuala Lumpur pada Ahad (27 Mac). 

Cik Rafidah merupakan Canselor Meritus University. 

Pengasas Meritus University Dr Halim Mohammad yang turut hadir pada majlis berkenaan berkata, beliau menubuhkan bahagian pendidikan di Halim Mazmin Group untuk terus melahirkan pekerja berkemahiran untuk sektor maritim, hospitaliti dan penerbangan.

Menurutnya, Pelan Induk Perkapalan Malaysia 2017-2022 menyasarkan kira-kira 160,000 peluang pekerjaan.

“Di Malaysia sendiri, banyak peluang pekerjaan ditawarkan oleh industri maritim di seluruh dunia kepada siswazah berkelulusan pengajian maritim. Mereka yang mempunyai kelayakan maritim yang baik mendapat permintaan yang tinggi dalam ekosistem maritim,” kata Dr Halim sambil menambah, siswazah universiti itu sudah diambil bekerja sepenuhnya oleh industri.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan