Skip to main content

Dunia

Indonesia yakin boleh capai 5 juta suntikan vaksin dalam sehari, kata menteri penyelaras

Indonesia berharap untuk memperhebat program vaksinasi COVID-19 di negara itu untuk memberi sebanyak 2.5 juta suntikan sehari menjelang September dan akhirnya mencapai kadar lima juta dos sehari, kata Menteri Penyelaras Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia Luhut Pandjaitan.

Anggaran Waktu Membaca:
Indonesia yakin boleh capai 5 juta suntikan vaksin dalam sehari, kata menteri penyelaras

Seorang wanita menerima suntikan vaksin COVID-19 di Jakarta, Indonesia, pada 8 Jul 2021. (Gambar: Ajeng Dinar Ulfiana/REUTERS)

Diterbitkan : 30 Jul 2021 02:22PM Dikemas Kini : 30 Jul 2021 02:24PM

JAKARTA: Indonesia berharap untuk memperhebat program vaksinasi COVID-19 di negara itu untuk memberi sebanyak 2.5 juta suntikan sehari menjelang September dan akhirnya mencapai kadar lima juta dos sehari.

Demikian menurut Menteri Penyelaras Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia Luhut Pandjaitan.

Dalam wawancara eksklusif bersama Mediacorp pada Rabu (28 Jul), menteri itu berkata bahawa program vaksinasi nasional sedang berjalan dengan lancar.

"Buat satu atau dua minggu ini, keadaan akan menjadi jauh lebih baik. Bulan ini masih sekitar satu juta sehari, tetapi bulan depan, kita dapat mencapai 1.5 juta, bahkan hingga dua juta suntikan sehari," katanya.

Encik Pandjaitan, yang juga bertanggungjawab atas respons pandemik Indonesia, berkata Presiden Joko Widodo sudah mengingatkannya tentang sasaran lima juta suntikan sehari.

"Saya yakin kita boleh melakukannya.

“Kita perlu lakukannya secara bertahap-tahap. Jadi jika bulan depan kita berjaya capai dua juta, saya rasa pada September mungkin boleh capai sekitar 2.5 juta. Jadi saya agak yakin kerana kita perlu bergerak pantas untuk mengekang COVID-19," katanya.

Ini sekaligus membuka jalan untuk Indonesia mencapai sasaran melengkapkan vaksinasi bagi 208 juta orang, lebih tinggi daripada sasaran asal 181.5 juta.

“Pada asasnya kita menyebut tentang 181 juta pertama, yang saya rasa adalah satu sasaran yang boleh dicapai pada Januari, Februari tahun depan. Namun kita akan cuba lakukannya lebih awal. Kerana itu, Presiden (Jokowi) sudah bertanya: Bolehkah kita lakukan empat atau lima juta (suntikan) setiap hari, kerana sampai bilakah kita akan kekal seperti ini?"

Indonesia sudah mencatat lebih 3.3 juta kes COVID-19 setakat ini. Rekod 2,069 kematian dilaporkan pada Selasa (27 Jul) dengan angka keseluruhan korban mencecah lebih 90,000.

Lebih 19 juta orang sudah lengkap divaksinasi di merata negara.

PESAKIT ENGGAN DIKUARANTIN, ADA YANG MAUT TANPA AKSES RAWATAN HOSPITAL

Ramai individu yang positif COVID-19 terpaksa diasingkan di rumah kerana kekurangan katil di hospital. Ada yang meninggal dunia di rumah kerana tidak dapat mendapatkan rawatan di hospital.

Encik Pandjaitan berkata bahawa masalahnya adalah tentang bagaimana untuk meyakinkan orang ramai, terutama warga emas atau mereka yang mempunyai beberapa masalah kesihatan, untuk berpindah ke pusat kuarantin setelah mereka disahkan positif.

"Kerana budaya mereka, mereka merasa sangat selesa tinggal bersama keluarga. Ini adalah satu masalah kerana mereka boleh mencetuskan kelompok jangkitan baru,” jelasnya.

Tentera dan polis akan dikerahkan untuk membawa pesakit COVID-19 ke pusat kuarantin, tambahnya.

"Angka kematian semalam (27 Jul) sangat perit buat kita, 2,000. Kami ingin melihat jumlah ini terus merosot dalam masa seminggu ini, jadi kami agak yakin, kerana kami mengerahkan Tentera Nasional Indonesia dan pasukan polis untuk menyokong, untuk memujuk, untuk membawa mereka secara aman ke pusat kuarantin."

Menyifatkan pandemik COVID-19 sebagai ujian perpaduan terbesar yang pernah dihadapi negaranya, menteri itu berkata bahawa krisis tersebut, tidak seperti gempa bumi yang berlaku di satu-satu kawasan tertentu, menjejas seluruh negara.

Encik Pandjaitan berkata bahawa pemerintah sudah mulai menyiapkan pelan hala tuju ke arah kehidupan di samping COVID-19. Orang ramai mungkin masih pelu terus memakai pelitup dan membawa kad vaksinasi mereka semasa dalam perjalanan, katanya.

"Saya tidak fikir ekonomi kita, dalam ekonomi sejagat, boleh berkekalan seperti ini selamanya. Kita harus mengubah sikap, tingkah laku, kebiasaan kita, apa pun, agar tetap bertakat,” kata menteri itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita